Toyota USA digodam, 240GB data pekerja dan pelanggan syarikat dicuri

Amanz
Ogos 21, 2024 09:00 MYT
Toyota dilaporkan sedang mengenal pasti bagaimana pangkalan data tersebut mempunyai kerentanan serius seperti ini dan sehingga 240GB data syarikat dicuri.
TOYOTA baru-baru ini mengesahkan bahawa syarikat mereka di Amerika Syarikat telah digodam dan 240GB data pekerja dan pelanggan syarikat tersebut telah dicuri.
Data tersebut kini nampaknya sudah terdedah di forum laman web gelap dan boleh dimuat turun oleh sesiapa sahaja.
Kumpulan penggodam ZeroSevenGroup mengambil tanggungjawab ke atas serangan godaman tersebut, dan mengatakan bahawa fail 240GB tersebut mengandungi data syarikat, pelanggan, kontrak jual-beli, maklumat kewangan syarikat, bersama-sama dengan butiran IT syarikat tersebut seperti ID dan kata laluan WiFi dan lain-lain berkenaan rangkaian internet syarikat tersebut.
Toyota tidak memberi butiran mengenai bila dan bagaimanakah godaman tersebut berlaku, tetapi mengesahkan bahawa data yang tertiris ini mempunyai tarikh dicipta pada 25 Disember 2022, dan ini memberi mereka gambaran bahawa data ini dicuri melalui sebuah pangkalan data sandaran yang mempunyai isu kerentanan sekuriti.
Mereka juga dilaporkan kini sedang mengenal pasti bagaimanakah pangkalan data tersebut mempunyai kerentanan serius ini dan mengapa sehingga 240GB data syarikat berjaya dicuri.
Sumber: Bleeping Computer
#Toyota #godam #ZeroSevenGroup #data dicuri