Toyota Mirai. Untuk masa hadapan
Astro Publication
November 19, 2014 12:23 MYT
November 19, 2014 12:23 MYT
Apa yang hebatnya dengan kenderaan yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api? Untuk konteks automotif – seperti Toyota Mirai yang baharu sahaja dilancarkan semalam – hidrogen mudah didapati terutamanya dalam bentuk sebatian.
Dan apabila unsur hidrogen yang dibawa dalam bentuk gas bercampur dengan oksigen untuk menghasilkan tenaga, bahan buangan yang terhasil adalah air biasa. Ini menyelesaikan masalah utama bagi kenderaan dengan enjin konvensional iaitu pencemaran gas toksik menerusi pelepasan gas ekzos.
Tidak hairanlah kenderaan FCV (Fuel Cell Vehicle) dianggap sebagai antara teknologi yang paling sesuai untuk pengangkutan emisi sifar. Sebelum ini kos menjadi suatu penghalang – bersama-sama ciri kebolehpercayaan fungsi – tetapi nampaknya Toyota sudah cukup yakin dengan apa yang mereka sudah capai, dan seterusnya penghasilan model Mirai.
Secara ringkasnya, teknologi FCV Toyota menggabungkan teknologi ‘fuel cell’ terbaharu dengan hibrid yang sudah lama mereka dalami. Ia juga termasuk tangki hidrogen bertekanan tinggi dan teknologi tindanan ‘fuel cell’. Ouput yang terhasil mencapai 153hp dengan pecutan 0-100km/j dalam masa 9 saat.
Dari segi bekalan hidrogen, ia boleh didapati daripada pelbagai sumber asli, di samping bahan buangan. Apabila ia dimampatkan, hidrogen mempunyai ketumpatan tenaga yang lebih tinggi berbanding bateri, dan juga agak mudah untuk disimpan dan digerakkan.
Antara ciri inovatif untuk teknologi FCV pada Mirai ini adalah:
- Kecekapan penghasilan tenaga eletrik ditingkatkan dengan rekaan jaring 3D halus bagi memastikan hasil adalah lebih setara . Ia turut lebih kecil di samping memberi output ketumpatan tenaga setingi 3.1 kW/L (2.2 kali lebih tinggi daripada yang dijana oleh Toyota FCHV). Sistem ‘fuel cell’ ini juga tidak memerlukan penggunaan penyahlembap (dehumidifier)
- Konverter kapasiti tinggi yang lebih kompak dihasilkan untuk menambah tenaga di dalam sistem kepada 650 volt. Penambahan ini membolehkan agar motor elektrik dikecilkan dan jumlah tindanan ‘fuel cell’ dikurangkan, seterusnya menghasilkan sistem ‘fuel cell’ yang lebih kecil namun mempunyai prestasi yang tinggi. Kos juga dapat dikurangkan.
- Bekalan hidrogen disimpan di dalam tekanan setinggi 70 megapascal, ataupun 700 bar, menggunakan tangki yang diperbuat daripada plastic dikuatkan gentian karbon. Kapasiti juga telah bertambah sebanyak 20% berbanding di dalam Toyota FCHV, walaupun dengan penurunan berat dan saiz tangki. Tangki ini turut lengkap dengan sensor yang akan mengesan kebocoran hidrogen, di mana injap utama akan ditutup secara automatik. Dalam pada itu, tangki hidrogen dan segala komponen yang terlibat diletakkan di luar kabin agar jika berlaku kebocoran, gas terlepas ke udara dengan selamat.
- Sistem ‘fuel cell’ dilindungi struktur kereta yang mampu mengalihkan tenaga yang terlibat jika berlaku kemalangan. Rangka ‘fuel cell’ itu sendiri diperbuat bahan plastik diperkuatkan gentian karbon termoplastik yang ringan, kuat dan mudah untuk dihasilkan.
Toyota Mirai ini dipasang di kilang Motomachi milik Toyota Motor Corporation dan akan mula dijual di Jepun mulai bulan Disember 2014. Kemudian ia akan mula diperkenalkan di pasaran-pasaran terpilih Eropah bermula September 2015.
Harga di Eropah dijangka sekitar €66,000. Manakala di Jepun adalah ¥7,236,000; dan Amerika pula $45,000, setelah mengambil kira insentif-insentif yang terlibat.