Tourism Melaka terima anugerah Pembangunan Pelancongan Warisan Terbaik

Bernama
Julai 28, 2024 04:15 MYT
Melaka akan terus berusaha meningkatkan pengalaman pelancong dengan memperkenalkan produk pelancongan yang inovatif dan menarik. - Foto Facebook/Abdul Razak Abdul Rahman
MELAKA: Tourism Melaka menerima anugerah Pembangunan Pelancongan Warisan Terbaik sempena Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2024 di Kuala Lumpur, semalam.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata anugerah berkenaan satu pengiktirafan atas usaha berterusan Melaka dalam memelihara serta mempromosikan warisan sejarah dan kebudayaan negeri itu yang unik.
"Kami amat berbangga dengan pencapaian ini yang membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memelihara warisan dan budaya Melaka di samping meningkatkan mutu pelancongan dengan produk-produk pelancongan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengiktirafan itu juga sebagai penghargaan kepada semua penggiat industri pelancongan Melaka yang berusaha keras terutama dalam kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Menurut Abdul Razak, Melaka akan terus berusaha meningkatkan pengalaman pelancong dengan memperkenalkan produk pelancongan yang inovatif dan menarik.
Majlis anugerah anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) dengan kerjasama Santai Travel itu sebagai penghormatan kepada penggiat industri pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
-- BERNAMA
#Pembangunan Pelancongan Warisan Terbaik #Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2024 #Abdul Razak Abdul Rahman #Tahun Melawat Melaka 2024