Tourism Malaysia sertai pameran pelancongan terbesar Belanda

Bernama
Januari 12, 2024 16:53 MYT
Penyertaan itu adalah kerjasama pempamer bersama Lembaga Pelancongan Sabah, Mike Bikes, serta pengendali pelancongan tempatan Pangea Travel dan Reisbrigade.
KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia, melalui pejabatnya di The Hague mengambil bahagian dalam Pameran Vakantiebeurs Holiday Fai ke-53 dari 10 hingga 14 Jan di Utrecht, Belanda bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi percutian utama kepada pasaran Belanda.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, agensi itu berkata penyertaannya pada acara pelancongan terbesar di Belanda yang menarik kehadiran lebih 60,000 pelawat setiap tahun itu, diadakan dengan kerjasama pempamer bersama Lembaga Pelancongan Sabah, Mike Bikes, serta pengendali pelancongan tempatan Pangea Travel dan Reisbrigade.
"Berfokus pada mempamerkan komitmen Malaysia terhadap ekopelancongan dan pelancongan mampan, Tourism Malaysia akan menampilkan produk serta destinasi pelancongan sedia ada dan baharu, menekankan kepelbagaian biodiversiti negara dan komuniti tempatan yang berdaya maju," katanya.
Di samping itu, pensampelan makanan Malaysia dan persembahan kebudayaan yang menawan dianjurkan bagi menarik kehadiran pengunjung sepanjang pameran itu.
Agensi itu berkata tiga segmen pelancongan khusus yang diketengahkan termasuk pakej memerhati burung Malaysia, pakej rumah bot, serta pakej arkeopelancongan dan geopelancongan manakala destinasi yang diketengahkan ialah Perlis, Endau Rompin dan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah, Kinabalu UNESCO Global Geopark.
Tourism Malaysia berkata dengan satu hari khusus untuk sektor perdagangan dan empat hari lagi untuk pengguna, pameran itu menyediakan platform yang sangat baik untuk bersemuka dengan industri pelancongan tempatan dan memberi inspirasi kepada pengguna dalam memilih destinasi percutian mereka seterusnya.
Pada hari khusus sektor perdagangan itu, reruai Tourism Malaysia telah dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Belanda Roseli Abdul dan dihadiri oleh lebih 80 rakan kongsi industri, termasuk syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, ejen pelancongan dan media pelancongan.
Dalam ucapannya, Roseli berkata dari Januari hingga Oktober 2023, Malaysia menerima 58,014 pelancong dari Belanda dan beliau yakin jumlah ketibaan pelancong Belanda, purata tempoh penginapan dan perbelanjaan di Malaysia dapat dipulihkan ke tahap pra-pandemik.
-- BERNAMA
#Tourism Malaysia #pelancongan #pameran #Belanda #promosi negara
;