Tourism Malaysia sasar tingkatkan penerbangan antarabangsa di Routes Asia 2024

Bernama
Februari 28, 2024 22:14 MYT
Mohd Shahrir berkata, adalah penting untuk terus menyambut baik trend ini dengan memanfaatkan program geran sepadan untuk syarikat penerbangan bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai lokasi mudah didatangi. - Bernama
LANGKAWI: Tourism Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan jumlah penerbangan antarabangsa ke Malaysia sama ada setara atau melebihi paras ketika prapandemik, menerusi penganjuran acara Routes Asia 2024 yang bermula semalam hingga 29 Februari.
Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa bagi Asia Tenggara Mohd Shahrir Mohd Ali berkata, berikutan kemasukan penerbangan sewa khas dari China ke Malaysia baru-baru ini, adalah penting untuk terus menyambut baik trend ini dengan memanfaatkan program geran sepadan untuk syarikat penerbangan bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai lokasi mudah didatangi.
Geran itu dikenali sebagai Geran Stimulus Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC).
"Pada masa ini, terdapat minat yang tinggi, terutamanya dari China dan India, dan baru-baru ini saya turut bertemu (dengan wakil daripada) beberapa syarikat penerbangan.
"Terdapat banyak penerbangan sewa khas yang disahkan dari China. Oleh itu, kami menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong China tahun ini dengan harapan untuk mencapai antara tiga dan lima juta daripada sebanyak 27.3 juta sasaran ketibaan," katanya kepada pemberita di acara Routes Asia 2024 di sini hari ini.
Pengembara merupakan kumpulan sasaran dengan tumpuan terutamanya kepada pengembara perniagaan memandangkan kumpulan ini pada kebiasaannya lebih banyak berbelanja berbanding pengembara masa senggang.
Mohd Shahrir berkata Malaysia mencatatkan kira-kira 20.1 juta ketibaan tetamu tahun lepas.
Routes Asia adalah platform untuk syarikat penerbangan, lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan sektor penerbangan di rantau ini untuk mengadakan pertemuan, berkongsi amalan terbaik dan membangunkan strategi rangkaian.
-- BERNAMA
#Tourism Malaysia #penerbangan antarabangsa #routes asia #pelancongan
;