Tourism Malaysia sasar 220 juta pelawat domestik tahun ini
Bernama
Jun 8, 2024 07:15 MYT
Jun 8, 2024 07:15 MYT
PUTRAJAYA: Tourism Malaysia menyasarkan bilangan pelawat domestik sebanyak 220 juta orang dengan jumlah perbelanjaan RM88 bilion pada tahun ini, kata Ketua Pengarahnya, P. Manoharan.
Ringkasan AI
- Tourism Malaysia sasarkan 220 juta pelancong domestik dengan perbelanjaan RM88 bilion tahun ini, capai 25% setakat suku pertama.
- Pameran Cuti-Cuti Malaysia MADANI Penjawat Awam tawarkan pakej pelancongan domestik dan tiket masuk ke taman tema dengan diskaun hingga 30%.
- Program ini diikuti oleh 25 pemain industri pelancongan, menyokong pelancongan domestik dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pameran Cuti-Cuti Malaysia MADANI Penjawat Awam di Alamanda Shopping Centre, di sini, pada Sabtu, beliau berkata sasaran berkenaan tercapai pada 25 peratus setakat suku pertama tahun ini.
"Bagi memastikan angka itu terus meningkat dan mencapai sasaran ditetapkan Tourism Malaysia, aktiviti promosi pelancongan ke segenap lapisan masyarakat akan terus dipergiatkan.
"Pendekatan ini secara tidak langsung dapat menggalakkan raklyat Malaysia untuk turut sama mendukung aspirasi kerajaan yang lebih besar iaitu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Pameran selama tiga hari bermula Jumaat itu menawarkan jualan pakej pelancongan domestik dan tiket masuk ke taman tema secara terus kepada pengunjung.
Pakej ditawarkan antaranya ialah Pakej Duo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), pakej percutian di pulau-pulau seperti Redang, Kapas, Perhentian, Lang Tengah, Tioman dan Mabul serta pakej glamping atau perkhemahan mewah , inap desa dan penginapan di hotel serta resort bertaraf sehingga lima bintang.
Manoharan berkata, penganjuran program itu menyasarkan penjawat awam untuk menggalakkan mereka bercuti serta berbelanja di dalam negara sekali gus merancakkan pelancongan domestik serta ekonomi setempat.
"Pameran ini merupakan satu daripada program yang dirancang dalam pelan promosi dan pemasaran Tourism Malaysia untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan bagi mencapai sasaran 220 juta pelawat domestik pada 2024.
"Walaupun pameran ini menyasarkan kepada penjawat awam, ia juga terbuka kepada orang awam untuk mendapatkan tawaran jualan pakej pelancongan dan tiket masuk pada harga diskaun hingga 30 peratus," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 25 pemain industri terlibat dalam pameran itu terdiri daripada agensi pelancongan, hotel, operator produk pelancongan, taman tema serta syarikat penerbangan. - BERNAMA