Tourism Malaysia sasar 1 juta pelancong India hujung tahun ini

Bernama
Ogos 2, 2024 09:46 MYT
Penerbangan terus AirAsia yang baharu menghubungkan Guwahati dan Kozhikode (Calicut) ke Kuala Lumpur. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Tourism Malaysia menyasarkan kedatangan satu juta pelancong India menjelang akhir tahun ini dengan beroperasinya penerbangan terus AirAsia yang baharu, menghubungkan Guwahati dan Kozhikode (Calicut) ke Kuala Lumpur.
Laluan baharu itu, yang bermula hari ini, akan beroperasi tiga kali seminggu, menurut agensi penggalakan pelancongan negara itu.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia P. Manogaran berkata pengembangan itu mengukuhkan keterhubungan udara antara India dan Malaysia, menawarkan lebih banyak kemudahan untuk pelancong dan mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.
"Kami teruja untuk bekerjasama dengan AirAsia bagi meningkatkan kebolehcapaian kepada pengembara dari Guwahati dan Kozhikode. Penerbangan terus ini menekankan komitmen kami untuk mempromosikan pelancongan, mengukuhkan hubungan bilateral dan yakin laluan ini akan merangsang kedatangan pelancong dan memberikan pengalaman indah di Malaysia kepada pengunjung," katanya dalam kenyataan.
India merupakan pasaran pelancongan utama bagi Malaysia.
Pada April 2024, kedatangan pelancongan India meningkat 80.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023, iaitu mencecah 295,000 pengunjung.
-- BERNAMA
#Tourism Malaysia #pelancong India #Guwahati #Kozhikode #penerbangan terus #AirAsia