Tourism Malaysia promosi produk 'niche' di OTM 2024
Bernama
Februari 9, 2024 22:46 MYT
Februari 9, 2024 22:46 MYT
KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia mempromosikan beberapa produk khusus atau "niche" seperti beli-belah, sukan golf, pelancongan mewah, taman tema, pakej bulan madu, pelancongan perkahwinan dan filem pada pameran pelancongan terbesar India, Outbound Travel Mart (OTM) 2024 yang berlangsung di Mumbai bermula 8 Feb hingga esok.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berharap pameran pelancongan itu dapat menarik sejumlah besar pelancong India ke Malaysia, lebih-lebih lagi dengan pengecualian visa yang ditawarkan kepada pelancong negara itu hingga 31 Dis depan.
"Kami mahu memanfaatkan peluang ini dan ia (pameran) merupakan platform terbaik untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menggunakan liputan publisiti secara komprehensif sepanjang program ini," katanya dalam kenyataan hari ini, selain menambah terdapat 180 penerbangan dengan 33,374 tempat duduk bagi perjalanan antara India dan Malaysia setiap minggu.
Beliau berkata jumlah pelancong India merupakan kelima terbesar iaitu 472,479 orang daripada 14.4 juta pelancong ke negara ini yang dicatatkan dari Januari hingga September tahun lepas,
"India dianggap sebagai pasaran penting dan utama bagi Malaysia, ditambah lagi dengan hubungan ekonomi dan budaya yang kukuh serta mendalam," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG) Dersenish Aresandiran berkata Malaysia Airlines, yang mengendalikan 69 penerbangan seminggu ke New Delhi, Mumbai, Bengaluru, Chennai, Hyderaabad, Kochi, Amritsar, Trivandrum dan Ahmedabad, berbesar hati menjadi rakan penerbangan rasmi OTM 2024.
"Kami berharap dapat menampilkan daya tarikan Malaysia yang pelbagai dan mengagumkan kepada pengembara India, selain bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia untuk merancakkan semula pelancongan keluar dan masuk antara dua pasaran utama ini," katanya.
Lebih 35,000 pelawat perdagangan dijangka menghadiri OTM 2024 dan Tourism Malaysia turut giat melakukan beberapa siri aktiviti promosi dalam pasaran India.
Ia bermula dengan Festival Makanan dan Kebudayaan Malaysia pada 5 Feb hingga Ahad ini, diikuti kempen jerayawara melibatkan empat bandar utama di India iaitu Bangalore, Chennai, Calcutta, dan Ahmedabad yang akan berlangsung dari Ahad ini hingga 19 Feb.
Delegasi Malaysia terdiri daripada 43 organisasi yang mewakili 23 ejen pelancongan, 11 pengusaha hotel/resort, empat pemilik produk pelancongan, tiga lembaga pelancongan negeri dan dua pengendali penerbangan.
-- BERNAMA