Tourism Malaysia perkuat kerjasama dengan penerbangan antarabangsa tarik pelancong
Bernama
Mei 16, 2022 05:45 MYT
Mei 16, 2022 05:45 MYT
PUTRAJAYA: Tourism Malaysia sedang berusaha untuk memperkuatkan lagi kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa untuk menerima lebih ramai pelancong antarabangsa dari Asia Barat ke Malaysia, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zainuddin Abdul Wahab.
Beliau berkata pihaknya pada masa ini mempergiatkan lagi usaha pemasaran mereka untuk menarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat dengan mengadakan jerayawara di Iran, Oman dan Qatar dari 13-21 Mei bersempena pembukaan semula sempadan negara.
"Dengan kita mengalu-alukan lebih ramai pengembara Asia Barat kembali ke Malaysia, ia masa yang sesuai untuk kami memperkuatkan kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabansa seperti Qatar Airways, Oman Air dan Mahan Air, yang menawarkan penerbangan terus ke Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Zainuddin, yang mengetuai jerayawara itu berkata program itu membawakan bersama mereka pemain industri termasuk, agen pelancongan, pengusaha hotel, pemilik produk, badan pelancongan negeri dan pemain industri perubatan ke bandaraya Tehran, Muscat dan Doha.
"Selain daripada sesi penerangan dan penyampaian rasmi berkaitan industri pelancongan Malaysia, rakan perdagangan pelancongan daripada pasaran Asia Barat juga berpeluang untuk menghadiri 'travel mart' dan makan malam untuk mengadakan kerjasama baharu dengan rakan-rakan dari Malaysia," katanya.
Beliau berkata pengembara dari Asia Barat mendominasi perbelanjaan pelancong lima tertinggi di Malaysia dari segi perbelanjaan per kapita, selain merekodkan purata tinggal di negara berbanding pelancong daripada pasaran lain.
Bermula 1 Mei 2022, pegembara yang telah menerima vaksinasi penuh tiba di Malaysia tidak lagi perlu untuk melakukan ujian prapelepasan COVID-19 dan ketika tiba, termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah, selain mereka yang telah dijangkiti COVID-19 dalam tempoh 60 hari sebelum berlepas ke Malaysia.
Insuran pelancongan juga tidak menjadi prasyarat untuk warga asing memasuki Malaysia. Mengenakan pelitup muka di kawasan terbuka adalah pilihan tetapi masih diwajibkan di kawasan tertutup, termasuk di pusat beli belah, pejabat, pengangkutan awam dan kenderaan e-panggilan.
-- BERNAMA