Tourism Malaysia fokus promosi pelancongan 'jejak kopi' di wilayah utara
Bernama
Disember 22, 2021 05:36 MYT
Disember 22, 2021 05:36 MYT
GEORGE TOWN: Tourism Malaysia Wilayah Utara (TMWU) kini fokus mempromosikan pelancongan 'jejak kopi' di negeri-negeri wilayah utara tanah air bermula dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Timbalan Pengarah Kanan TMWU, M. Yoganthiran berkata usaha itu adalah satu daripada kaedah untuk meningkatkan dan menyeimbangkan taburan ekonomi pelancongan di empat negeri itu melalui pelancongan pendidikan dan pelancongan gastronomi di wilayah utara.
Menurutnya, pelancongan 'jejak kopi' adalah satu daripada cabang baharu yang boleh dikomersialkan dalam bidang pelancongan di Malaysia berbanding hanya fokus kepada pelancongan tradisional semata-mata.
Tambahnya, budaya minum kopi telah wujud sekian lama di Malaysia malah semakin berkembang hingga menjadi gaya hidup yang wajar dijadikan sebagai satu daripada produk pelancongan dalam negara.
"Di semenanjung Malaysia, wilayah utara adalah lokasi terbaik dalam penanaman kopi terutamanya robusta atau nama saintifiknya canephora. Di Sik, Kedah terutamanya adalah lokasi ladang kopi robusta terbesar di wilayah utara setakat ini boleh memberikan pendedahan kepada pelancong terutamanya pecinta kopi tentang asal usul dan cara penanaman biji kopi tersebut.
"Selain itu, dalam usaha untuk mengetengahkan pelancongan pendidikan, pelancong juga boleh berkunjung ke kilang pemprosesan kopi seperti di Aun Tong Coffee Mill, Taiping atau berkunjung ke kafe yang diusahakan oleh anak tempatan dalam mengetengahkan kaedah dan resepi tersendiri dalam menghasilkan minuman tersebut," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata demikian ketika hadir program penutupan Coffee Trail Northern Region yang diadakan pada 19 sehingga 22 Disember di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak di sini yang melibatkan agensi-agensi pelancongan dan media tempatan.
Yoganthiran berkata program suai kenal tersebut melibatkan lawatan penanaman kopi, lawatan ke kilang memproses kopi dan juga kedai dan kafe kopi terpilih menarik dan unik yang berpotensi untuk menarik minat pelancong terutamanya para penggemar kopi.
"Daripada pemerhatian TMWU, anak muda Malaysia mempunyai potensi besar dalam arena kopi malah di peringkat antarabangsa. Ramai antara mereka yang mengambil inisiatif untuk belajar kemahiran dan membuka kafe sendiri.
"Di Pulau Pinang terutamanya, pertumbuhan kafe atau kedai kopi dilihat semakin mekar. Mereka menyediakan pelbagai jenis kopi dari seluruh dunia bagi memenuhi permintaan penggemar kopi di sini. Tidak ketinggalan juga anak muda di Perlis yang berani membuka perniagaan kafe dengan gaya tarikan dan keistimewaan tersendiri," katanya.
-- BERNAMA