Tourism Malaysia anjur jerayawara di Korea Selatan tingkatkan ketibaan pelancong
Bernama
Jun 25, 2022 10:32 MYT
Jun 25, 2022 10:32 MYT
KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia menganjurkan jerayawara selama dua minggu di Korea Selatan dari 22 Jun hingga 1 Julai untuk meningkatkan ketibaan pelancong dari negara itu sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa sejak 1 April lepas.
Tourism Malaysia dalam satu kenyataan berkata pelancaran "Malaysia Week and Travel Mart" akan berlangsung di Seoul dan promosi Minggu Malaysia akan diadakan di Pulau Nami sementara beberapa sesi "travel mart" akan juga diadakan di Busan, Daegu, Gwangju dan Daejon.
"Misi ini menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, pendatang baharu dan pelancong tetap, untuk meningkatkan lagi ekonomi bagi satu lonjakan kukuh dalam industri pelancongan kerana Malaysia dan Korea Selatan menikmati kesalinghubungan udara menerusi Malaysia Airlines, Asia X, Korean Air, and Jin Air," menurut kenyataan itu.
Menurut Tourism Malaysia, jerayawara itu diketuai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr Santhara Kumar yang membawa bersama penggiat pelancongan Malaysia terdiri daripada persatuan kembara, pengusaha hotel, pemilik produk selain agensi kerajaan dan swasta.
Menurut kenyataan itu lagi pelancong dari Korea Selatan berada di kedudukan 10 teratas dalam kategori ketibaan pelancong dan perbelanjaan per kapita, selain merekodkan purata tempoh penginapan yang lebih lama sebelum pandemik COVID-19.
Malaysia menerima ketibaan 673,065 pelancong dari Korea Selatan pada 2019, 119,750 pada 2020 dan 3,028 tahun lepas.
-- BERNAMA