Tourism Johor anjur sesi libat urus, bincang pelancaran JTI

Hasimi Muhamad
September 9, 2021 09:12 MYT
Onn Hafiz memaklumkan beberapa perkara telah dibincangkan termasuk pelancaran Johor Tourism Interchange (JTI) - Gambar/ Facebook
KUALA LUMPUR: Tourism Johor pada Khamis mengadakan satu sesi libat urus dengan industri pelancongan negeri itu dalam usaha merancakkan sektor tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan beberapa perkara telah dibincangkan termasuk pelancaran Johor Tourism Interchange (JTI).
JTI katanya, akan dijadikan sebagai platform pemasaran yang mengumpulkan semua produk dan tarikan pelancongan di negeri Johor untuk kemudahan pelancong.
"Selain itu, (turut dibincangkan) “Virtual Majestic Johor (Week)” yang bakal dilancarkan pada 27 September 2021 bersempena dengan World Tourism Day dan Majestic Johor Safe (MJS)," katanya dalam kemas kini di laman Facebook, pada Khamis.
Dalam masa sama, Onn Hafiz turut menzahirkan terima kasih kementerian dan agensi-agensi berkaitan termasuk Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia; Tourism Malaysia Wilayah Selatan serta semua pemegang taruh yang telah mencurahkan idea serta pandangan mereka sepanjang sesi secara maya tersebut.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan Johor memohon supaya tiga kawasan pelancongan di negeri itu yang sudah mencapai tahap vaksinasi lengkap lebih 80 peratus, supaya dibuka untuk gelembung pelancongan.
Onn Hafiz berkata, tiga kawasan pelancongan yang sudah mencapai tahap vaksinasi lengkap lebih 80 peratus itu adalah Muar, kepulauan Mersing dan Desaru.
#Pelancongan Johor #Tourism Johor #Onn Hafiz #Johor Tourism Interchange