'Total lockdown': NGO jangan ganggu rantaian bekalan keperluan - KPDNHEP

Abd Razak Mohd Ali
Jun 6, 2021 09:49 MYT
KPDNHEP menerima laporan banyak NGO cuba mendapatkan bekalan barangan keperluan dalam kuantiti besar dari kedai runcit atau pasar raya di sesebuah komuniti. - Gambar fail/ Bernama
IPOH: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin memberi sumbangan kepada rakyat yang terkesan dengan total lockdown dinasihatkan supaya mendapatkan barangan keperluan harian daripada pemborong atau pengilang.
Pengarah Penguat Kuasa KDPNHEP, Azman Adam berkata, ia bagi mengelakkan gangguan terhadap rantaian bekalan sedia ada di peringkat runcit di sesebuah kawasan.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan banyak NGO yang cuba mendapatkan bekalan barangan keperluan dalam kuantiti besar untuk tujuan sumbangan dari kedai runcit atau pasar raya.
“Kita galakkan NGO-NGO yang hendak menyumbang, tiada masalah untuk menyumbang, tetapi kalau boleh jangan mengganggu rantaian bekalan sedia ada.
“Jangan ambil (beli barang dalam kuantiti besar) dari kedai-kedai runcit yang kecil di kampung, sebaliknya perlu kepada pergi kepada saluran-saluran yang tertentu seperti pemborong, pengilang dan sebagainya untuk mengelakkan gangguan bekalan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyertai Op Bersepadu Pemeriksaan Pematuhan SOP Akta 342 di beberapa pusat beli belah di sini, hari ini.
Menurutnya, NGO yang ingin mendapatkan bekalan untuk sumbangan boleh berhubung dengan pejabat KPDNHEP berhampiran kawasan sasaran mereka bagi melancarkan proses pembelian.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kementerian telah menangguhkan had maksimum dua jam berada di dalam pusat beli belah sebaik sahaja pengumuman mengenai total lockdown dibuat kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, kementerian menasihatkan orang ramai supaya jangan mengambil masa terlalu lama berada di dalam pusat beli belah, bagi mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19.
Pada 25 Mei lalu, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, mulai tarikh itu, pelanggan yang melanggar had maksimum dua jam berada di dalam pusat beli belah boleh dikenakan kompaun kerana melanggar SOP PKP.
#KPDNHEP #NGO #jangan ganggu rantaian #pembelian barang #kuantiti besar #pukal #kedai runcit #kampung #Azman Adam