'Total lockdown': Kontraktor G1, G2 dilantik PBT dibenar beroperasi bagi projek berskala kecil

Bernama
Jun 24, 2021 18:10 MYT
KPKT memaklumkan kontraktor berkenaan tidak perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS yang diselenggara MITI.- Gambar hiasan/ Freeimages.com
PUTRAJAYA: Kontraktor G1 dan G2 yang dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan bagi projek berskala kecil di bawah PBT dibenarkan beroperasi dalam tempoh fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa serta-merta.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan kontraktor berkenaan tidak perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS yang diselenggara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
"Sebaliknya surat kebenaran beroperasi akan dikeluarkan PBT bagi mempercepat proses kerja," menurut KPKT dalam kenyataan hari ini.
Menurut KPKT, surat kebenaran beroperasi dikeluarkan PBT adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan peraturan-peraturan PBT bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat sidang khas MKN pada 21 Jun lepas yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
-- BERNAMA
#Kontraktor #G1 #G2 #dibenar beroperasi #pbt #KPKT #MITI
;