Total Lockdown: Hanya 21.8 peratus syarikat dapat kelulusan CIMS 3.0 - Azmin
Firdaus Azil
Jun 3, 2021 15:22 MYT
Jun 3, 2021 15:22 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya 21.8 peratus surat kebenaran beroperasi telah diluluskan melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) setakat ini oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kata Menteri Kanan, Datuk Seri Azmin Ali.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, 586,308 perniagaan dengan 10.2 juta pekerja telah berdaftar dengan CIMS dan hanya 128,150 surat kebenaran beroperasi yang telah dicetak melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh Malaysia.
Selain itu, beliau berkata MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan sesuatu sektor perniagaan dianggap penting atau sebaliknya
“Surat kebenaran beroperasi oleh CIMS 3.0 hanya dikeluarkan setelah kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi, memberi pengesahan kepada MITI.
“Sehingga kini, 15 Kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing,” katanya lagi.
Azmin berkata, setelah kementerian-kementerian mengesahkan permohonan-permohonan tersebut, syarikat berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.
“Namun, terdapat juga beberapa Kementerian seperti MAFI dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh MAFI. Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama.
“Maka, surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh MITI setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang menggunakan CIMS 3.0, tetapi ada juga yang dikeluarkan oleh Kementerian lain,” katanya lagi.
Azmin berkata, dengan pewujudan dan pelaksanaan sistem bersepadu seperti itu, ia terbukti lebih berkesan untuk kumpulan sasaran masing-masing.
Mengenai aduan dan dakwaan bahawa CIMS 3.0 telah dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi, Azmin berkata, MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan.
“MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0,” katanya lagi.