'Topoi K' didakwa kerana mengedar dadah bernilai RM150,000
Raffi Bachik
Januari 20, 2017 17:41 MYT
Januari 20, 2017 17:41 MYT
Seorang penganggur yang digelar ‘Topoi K’ akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah di sebuah rumah di Bandar Hilir, Melaka minggu lalu.
Topoi K atau nama sebenarnya Vincent Tan Kee Boon, 26 tahun didakwa atas empat pertuduhan namun tiada pengakuan direkodkan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh dan Norina Maludin.
Berdasarkan pertuduhan pertama sehingga ketiga, tertuduh didakwa mengedar 800 pil eramin 5 jenis nimetazepham yang dianggaran seberat 216.8 gram(g), ketamin (450.3 g) dan 255 pil ekstasi jenis metaphetamine (82.35 g).
Bagi pertuduhan keempat, dia turut didakwa melakukan kesalahan sama mebabitkan cecair ketamin dengan berat kasar 11.5 kilogram (kg).
Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah di Amerald Garden City, Jalan Merdeka, Banda Hilir, melaka sekitar jam 9.15 pagi 10 Januari lalu.
Semua pertuduhan didakwa mengikut seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39b2 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara gantung sampai mati mandatori.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shazireen Nadia Saaban ketika pendakwaan meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia untuk mengetahui berat sebenar kesemua dadah tersebut.
Firdaus Saleh dan Norina Maludin menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.
Pada 12 Januari lalu, Astro AWANI melaporkan hasrat seorang lelaki untuk mencari pasaran baharu dengan menggunakan taktik pengedaran dadah melalui botol minuman berperisa yang berjaya dipatahkan Polis Melaka apabila seorang individu ditahan dalam satu serbuan di sebuah apartment di Bandar Hilir, Melaka.
Serbuan yang dilakukan hasil maklumat orang awam itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang diberi gelaran ‘Topoi K’ bersama beberapa jenis dadah berjumlah RM150,000.