Top Glove sentiasa mendukung amalan buruh yang baik

Bernama
Julai 21, 2020 23:33 MYT
Top Glove berkata sejak Januari 2019, kumpulan telah melaksanakan lebih 100 audit sosial luaran di kilangnya, yang dijalankan oleh firma audit antarabangsa yang kukuh. Gambar fail/ Bernama
Top Glove Corporation Bhd sentiasa mendukung amalan buruh yang baik dan mematuhi keperluan amalan terbaik dan undang-undang buruh, selain memastikan langkah-langkah yang wajar dilaksanakan untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan tenaga kerjanya.
Ia mendapat penilaian "A" dalam audit sosial yang dijalankan dari 23 hingga 26 Mei tahun ini oleh Amfori, persatuan perniagaan global terkemuka untuk perdagangan terbuka dan mampan, menurut kumpulan itu dalam kenyataan dalam menyatakan komitmennya kepada amalan buruh yang beretika dan menolak dakwaan menggunakan khidmat buruh paksa di kemudahan pembuatannya.
"Audit Amfori baru-baru ini, dan audit pihak ketiga sebelumnya yang mendapat penilaian yang baik, memberikan pengesahan bebas bahawa tiada unsur buruh paksa di kemudahan pembuatan kami," kata Pengurus Besar Sumber Manusia William Yap.
Kumpulan itu berkata sebagai majikan dan peneraju industri yang bertanggungjawab dari segi sosial, Top Glove sentiasa mematuhi dan melebihi standard antarabangsa dan jangkaan berhubung perkara berkaitan buruh.
Ini termasuk Dasar Pengambilan Kos Sifar yang mana ia menanggung semua bayaran berkaitan pengambilan untuk pekerja asingnya yang tiba dari tahun 2019 dan seterusnya serta tiada penyitaan pasport di mana pekerja mempunyai hak penjagaan penuh kepada pasport mereka.
Kumpulan itu berkata amalan baik lain dan penambahbaikan sejak 2019 dalam pematuhan sosial termasuklah pematuhan yang berterusan dengan pihak berkuasa buruh Malaysia mengenai pembayaran gaji, tiada kerja lebih masa secara paksa atau berlebihan, penginapan dan kemudahan yang baik, keselamatan dan kesihatan pekerja menjadi keutamaannya dan mendukung standard tadbir urus korporat yang tertinggi.
Top Glove berkata sejak Januari 2019, kumpulan telah melaksanakan lebih 100 audit sosial luaran di kilangnya, yang dijalankan oleh firma audit antarabangsa yang kukuh.
"Selain itu, kumpulan giat berbincang dengan pelbagai organisasi untuk meningkatkan pematuhan sosial dan prestasinya.
"Kami akan terus berhubung dengan pihak berkepentingan kami dan turut komited untuk terus menambah baik kebajikan pekerja, yang terus menjadi keutamaan Top Glove," kata Yap.
-- BERNAMA
#keselamatan #kesihatan #Malaysia #Top Glove #undang-undang
;