Top Glove selar TV Kanada atas laporan mengelirukan

Umavathi Ramayah
Januari 19, 2021 08:12 MYT
Top Glove menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan pekerjanya menjadi keutamaan syarikat. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Syarikat sarung tangan getah terkemuka, Top Glove Corp Bhd menafikan laporan stesen televisyen Canadian Broadcasting Corporation (CBC) mengenai kebajikan pekerjanya yang disifatkan sebagai mengelirukan dan telah merosakkan reputasi baik syarikat itu.
Syarikat itu memberitahu, pendedahan laporan itu dilakukan tanpa mengambil kira langkah-langkah pemulihan yang telah diambil syarikat berkenaan.
Malah syarikat itu turut menzahirkan rasa kecewa dengan laporan yang tidak menyeluruh dan dinyatakan secara adil.
"Kami komited dalam memastikan isu perhambaan hutang yang telah disalah lapor syarikat televisyen itu tidak mempunyai tempat dalam operasi perniagaan kami.
"Kami mengatasi perkara ini dengan memastikan membuat keputusan yang tepat di semua peringkat operasi kami yang dinilai oleh pengurusan dan pengarah kami," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Baru-baru ini, CBC dalam laporannya mendedahkan sebuah video yang mendedahkan persekitaran kerja kilang-kilang sarung tangan milik syarikat itu yang disifatkan sebagai 'mengerikan'.
Laporan tersebut menggunakan rakaman kamera tersembunyi yang diambil menggunakan kamera yang diseludup ke premis tersebut dengan bantuan pekerja Top Glove.
Dalam laporan itu, CBC menunjukkan persekitaran kerja yang tidak selamat dan keadaan tempat tinggal pekerjanya yang sesak.
Dalam pada itu, Top Glove memaklumkan, sebagai langkah wajib, syarikat tersebut melakukan penilaian untuk mengenal pasti jurang dan potensi risiko dalam pengoperasiannya, pembangunan mitigasi serta menyediakan langkah pemulihan yang berkesan.
"Ini ditegaskan di sini bahawa kesihatan dan keselamatan pekerjanya menjadi keutamaan syarikat.
"Dalam menghasilkan sarung tangan perubatan berkualiti tinggi untuk melindungi pengamal perubatan dan petugas barisan hadapan di seluruh dunia.
"Top Glove juga komited untuk mematuhi langkah-langkah ketat bagi melindungi semua pekerja dan masyarakat," tambahnya lagi.
#Top Glove #COVID-19 #Canadian Broadcasting Corporation #CBC #keselamatan #kesihatan #operasi