Top Glove perjelas tiada isu baharu berkaitan buruh paksa ditemukan
Bernama
April 1, 2021 23:51 MYT
April 1, 2021 23:51 MYT
KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd menjelaskan bahawa tiada isu tambahan baharu berkaitan buruh paksa ditemukan atau ditambah walaupun beberapa ratifikasi dan pengesahan diperlukan dalam dapatan sebelum ini berhubung penemuan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS baru-baru ini.
Menurut pembuat sarung tangan itu, pihaknya akan terus memberi kerjasama secara aktif kepada CBP AS untuk menangani dan memperbetul sepenuhnya isu yang dikenal pasti itu dengan serta-merta atau segera.
"Kami mengulangi komitmen kukuh terhadap kebajikan, kesihatan dan keselamatan para pekerja kami. Kami menyasarkan untuk menjadi syarikat bertanggungjawan terkemuka di Malaysia dan dunia," menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.
Isnin lepas, CBP AS mengarahkan para pegawainya di semua pelabuhan masuk negara itu menahan produk sarung tangan pakai buang yang dihasilkan Top Glove.
Ia berikutan jabatan itu mendakwa pembuat sarung tangan terbesar dunia tersebut telah menggunakan buruh paksa dalam pengeluaran sarung tangan pakai buang.
Pada penutupan dagangan Bursa Malaysia pada Khamis, saham Top Glove meningkat 12 sen kepada RM4.64 dengan 26.25 juta unit bertukar tangan.
-- BERNAMA