Top Glove perbaiki lima petunjuk buruh paksa - Pengarah Urusan

Bernama
April 16, 2021 20:37 MYT
Pengarah Urusan Top Glove Datuk Lee Kim Meow pada sidang media selepas sesi Exclusive Media Walkabout of Top Glove Workers hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Top Glove Corporation Bhd kini berada dalam proses modifikasi peringkat ketiga bagi Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.
Pengarah Urusan, Datuk Lee Kim Meow berkata pihaknya telah memperbaiki baki lima petunjuk buruh paksa, sementara menunggu pengesahan oleh firma perunding perdagangan beretika yang berpangkalan di United Kingdom, Impactt.
Organisasi Buruh Antarabangsa telah menetapkan 11 petunjuk bagi amalan terbaik.
Impactt telah mengesahkan Top Glove, pembuat sarung tangan terbesar dunia, telah mencapai enam A dan lima B.
Lima B itu perlu diubah kepada lima A untuk CBP AS menarik balik WRO tersebut.
"Perunding bebas di UK, Impactt, dijangka menyerahkan laporan itu kepada kami minggu depan. Selepas itu kami akan memaklumkan semula CBP AS bahawa Top Glove telah melaksanakan seperti mana yang mereka minta justeru, mereka boleh menarik baik WRO itu, ini adalah proses di peringkat keempat dan akhir.
"Jadi buat masa ini, sebaik sahaja Impactt memperakui dan mengesahkan Top Glove mempunyai kesemua 11 A, kami yakin CBP akan berpuas hati seterusnya mengambil tindakan perlu untuk menarik balik WRO berkenaan," katanya semasa membawa beberapa wakil media terpilih meninjau kemudahan asrama pekerja serta ketika sesi soal jawab di Setia Alam, dekat sini, pada Jumaat.
Lee berkata ikatan hutang merupakan antara lima petunjuk yang telah diselesaikan Top Glove dengan membayar secara keseluruhan sebanyak RM150 juta kepada para pekerja, menjelaskan baki bagi empat bulan sebagai bayaran keseluruhan setakat 2 April, 2021.
"Kami melaksanakan peranan seperti yang kami janjikan kepada CBP AS iaitu untuk memastikan kami memperbaiki aspek ini. Jadi kini, tiada lagi isu," katanya.
Empat petunjuk lain yang telah diperbaiki oleh Top Glove adalah penyimpanan dokumen pengenalan diri, penipuan, fizikal dan seksual, serta kekerasan dan intimidasi.
Beliau berkata Top Glove mempunyai tema khusus setiap tahun untuk diberikan tumpuan dan bagi 2021 ia meliputi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Tahun ini kami perlu memberi lebih perhatian terutama kepada ESG agar kami dapat menjadi lebih baik dan akhirnya dijadikan contoh bagi industri dan diharapkan juga bagi Malaysia," katanya.
Lee berkata pihaknya juga bekerjasama dengan pakar hak pekerja asing bebas, Andy Hall, bagi kepentingan syarikat dan pekerja asing.
"Bersama-sama Hall, kami bekerja dalam usaha untuk menjadi pembuat terkemuka berlandaskan amalan ESG sebaik mungkin di seluruh industri kita," katanya.
Beliau berkata Top Glove melabur kira-kira RM300 juta untuk kemudahan penginapan pekerja dan RM50 juta bagi infrastruktur bertujuan menyediakan gaya hidup lebih baik bagi pekerja lelaki dan wanita.
Kemudahan itu termasuk bilik asrama dan bukan bilik asrama (ruang 3.6 meter antara pekerja), bilik dobi dan rekreasi serta tiga hidangan bersubsidi sehari.
Sehingga kini, tiada sebarang kes besar berlaku di asrama Top Glove, katanya.
Dalam perkembangan lain, Top Glove merancang untuk memgambil 9,000 pekerja daripada kalangan rakyat Malaysia bagi jawatan eksekutif dan bukan eksekutif.
Semasa penutupan dagangan di Bursa Malaysia pada Jumaat, saham Top Glove meningkat 2.39 peratus kepada RM5.57 dengan 29.10 juta saham bertukar tangan.
-- BERNAMA
#Top Glove #buruh paksa #Perintah Tahanan Pelepasan #WRO #CBP #Amerika Syarikat #Lee Kim Meow #Organisasi Buruh Antarabangsa
;