Top Glove mengaku tidak bersalah gagal sedia penginapan pekerja ikut standard

Abd Razak Mohd Ali
Mac 16, 2021 13:36 MYT
Top Glove diwakili seorang pengarah yang hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - Astro AWANI
IPOH: Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan gagal menyediakan penginapan pekerja mengikut standard yang ditetapkan.
Syarikat itu yang diwakili seorang pengarah membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurashima Khalid.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa menyediakan 10 tempat penginapan pekerja asing yang tidak diperakukan dengan Perakuan Penginapan dari Ketua Pengarah Tenaga Kerja seperti mana kehendak Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Perdagangan Tasek Mutiara, Ipoh pada masa yang berbeza-beza, 26 November tahun lalu.
Top Glove dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
Sabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 untuk setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim dan Mohd Zaihas Syakir Hasfar manakala Top Glove diwakili peguam Chew Jee San.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 April sebagai tarikh sebutan semula kes.
BACA: Akta 446: Gagal sediakan penginapan pekerja yang diperakukan JTK, syarikat didenda RM20,000
BACA: 294 majikan di Kedah dikesan gagal sediakan penginapan sesuai kepada pekerja
BACA: COVID-19: KKM kecewa asrama pekerja masih sesak
BACA: Hanya 5,700 pekerja sahaja terlibat dalam PKPD di asrama Top Glove
#Mahkamah Sesyen #pekerja asing #Ipoh #tempat penginapan #Penginapan #Sarung tangan #sarung tangan getah #Top Glove #pengarah #Akta 446
;