Tony Pua mengaku bertemu Clare Brown banyak kali
Hamzah Hamid
Julai 22, 2015 18:51 MYT
Julai 22, 2015 18:51 MYT
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP Tony Pua pada Rabu mengakui bahawa dia pernah bertemu Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown banyak kali manakala menafikan mengenali bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo dan bekas Pengarang Sarawak Tribune Lester Melanyi.
Tony membuat pengakuan itu dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini bagi mengulas mengenai insiden dihalang daripada keluar negara ketika hendak menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Saya tidak pernah bertemu Lester Melanyi seumur hidup saya. Saya juga tidak pernah mendengar tentang Justo sehinggalah berita melaporkan bahawa dia ditahan di Bangkok.
“Clare pula saya bertemu dengannya banyak kali di Singapura, London dan Indonesia,” ujarnya.
Melanyi sebelum ini dalam sebuah pendedahan video mendakwa bahawa beberapa pemimpin pembangkang telah bertemu dengan Justo di London antara tahun 2012 dan 2013.
Pertemuan itu adalah bagi mendapatkan maklumat bagi memburuk-burukkan kerajaan dalam isu syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Segala maklumat yang saya miliki adalah dari Sarawak Report, sama seperti yang diketahui semua orang iaitu pendedahan dalam Sarawak Report,” kata Tony merujuk kepada maklumat yang digunakannya dalam mengkritik 1MDB.
Sementara itu, berkenaan insiden Tony dihalang pihak Imigresen daripada meninggalkan negara di KLIA2, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai salah guna kuasa.
Beliau yang pada awalnya merancang untuk ke Yogyakarta, Indonesia atas urusan kerja telah dihalang untuk menaiki pesawat yang dijadual berangkat pada kira-kira jam 3.15 petang.
"Ini ternyata satu tindakan salah guna kuasa. Saya telah diberitahu oleh pegawai yang mengatakan bahawa arahan menghalang saya ke luar negara itu datang daripada 'pihak atasan.'
"Mereka bagaimanapun tidak memberitahu atas alasan apa saya tidak boleh keluar negara," katanya.
Tony berkata halangan tersebut mungkin berpunca daripada kritikannya terhadap 1MDB, namun beliau menuntut jawapan menegnai alasan sebenar halangan itu dan pihak yang bertanggungjawab memberi arahan berkenaan.
"Saya sebenarnya dalam rangka kerja berkaitan Penang Art District dan mahu ke Yogyakarta untuk melihat senario penganjuran acara kesenian di sana.
"Mengikut jadual, saya sepatutnya berada di sana sehingga 25 Julai untuk berangkat pula ke Singapura bagi menghadiri acara lain seterusnya pulang ke Pulau Pinang," jelasnya.
Tony mempersoalkan tindakan menghalangnya ke luar negara itu tidak patut kerana dia tidak diberitahu lebih awal tentang halangan tersebut.
"Saya tidak melakukan apa-apa jenayah, terlibat aktiviti haram ataupun sedang dalam siasatan pihak tertentu. Mengapa saya diperlakukan begini?" ujarnya.
Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut hadir dalam sidang media tersebut menyifatkan insiden itu sebagai salah satu 'tekanan' yang tidak patut dikenakan ke atas pemimpin pihak pembangkang.