Tony Pua gesa Salleh tawar RTM atau TV3 sebagai platform debat secara langsung
T K Letchumy Tamboo
Mei 17, 2016 14:55 MYT
Mei 17, 2016 14:55 MYT
Wakil rakyat DAP, Tony Pua, hari ini menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak sekali lagi menawarkan RTM atau TV3 sebagai platform untuk menyiarkan debat antaranya dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy secara langsung.
Arul Kanda telah menerima cabaran Pua untuk berdebat mengenai dakwaan penyelewengan kewangan walaupun setelah memberi keterangan penuh kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, Salleh sebelum ini amat cepat dan berminat untuk menawarkan platform berdebat pada Oktober lalu, sebelum ia dibatalkan.
"Oleh itu, saya yakin, berdasarkan kepentingan awam dalam perkara ini, beliau akan membuat tawaran yang sama untuk menjadi hos acara ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Pua juga berkata, Arul Kanda telah menerima cabaran keduanya untuk mengadakan debat awam mengenai 1MDB.
"Saya telah membuat cabaran kedua kepada Arul Kanda pada 14 April 2016 untuk berdebat dalam satu rancangan bual bicara secara langsung.
"Ini kerana, cabaran debat kali pertama itu disekat oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang berkata akan meletakkan jawatan jika perdebatan itu diteruskan sebelum PAC melengkapkan siasatan mereka.
"Arul Kanda telah menghubungi saya untuk membuat persiapan yang perlu untuk debat tersebut. Beliau telah melantik Ketua Komunikasi 1MDB, Robert Ho, untuk berbincang mengenai format dan struktur debat," katanya.
Tambahnya, di pihaknya, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, akan menghubungi Ho untuk memuktamadkan persiapan.