Tongkat motosikal punca wanita maut rempuh tembok batu

Aida Aziz
Julai 13, 2024 20:50 MYT
Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
MANJUNG: Seorang wanita berusia 46 tahun maut setelah motosikal yang ditunggang terbabas dan merempuh tembok batu di Jalan Pekan Lama Pantai Remis, di sini, pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.15 pagi itu, kemalangan dipercayai berpunca daripada tongkat motosikalnya yang bergesel dengan batu pengadang jalan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa wanita itu menunggang motosikal jenis Honda Vario dari arah Tokong Sian Tian San menghala ke pelantar.
"Ketika di lokasi, mangsa telah hilang kawalan akibat tongkat motosikal bergesel dengan batu pengadang jalan sebelah kiri.
"Akibat daripada itu, motosikal yang dinaiki terbabas dan merempuh batu tembok dan mangsa disahkan maut di lokasi kemalangan," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Justeru, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Asyraf Henry Philip di talian 016-5572540.
#manjung #motosikal #kemalangan maut #kemalangan jalan raya