Tongkang terbakar: Seorang anak kapal parah, lima lagi cedera

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 28, 2021 14:21 MYT
Mereka yang cedera diberi rawatan awal di lokasi. - Foto JBPM
GEORGE TOWN: Enam anak kapal cedera selepas sebuah kapal tongkang terbakar dalam kejadian di Gat Leboh Macallum - Pengkalan Weld, George Town, Pulau Pinang pada Selasa.
Dalam kejadian jam, 10.50 pagi itu, enam anak kapal berkenaan berjaya diselamatkan namun seorang dilaporkan parah manakala lima yang lain cedera di tangan.
Menurut Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Lebuh Pantai, PBK II, Mohamad Yahaya Murad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.54 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah tongkang dengan anggaran kemusnahan kebakaran sebanyak 20 peratus.
"Difahamkan terdapat enam mangsa, iaitu seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah dan diberi rawatan awal di lokasi manakala lima lagi mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan," katanya hari ini.
Api berjaya dipadamkan pada jam 11. 30 pagi namun kerja-kerja "overhaul" masih sedang dijalankan.
Operasi pemadaman turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.
#tongkang terbakar #Balai Bomba dan Penyelamat #George Town #pulau pinang
;