Tongkang karam: Dua warga Indonesia disyaki ejen dan tekong ditahan

Hakim Rahman
Jun 20, 2014 13:36 MYT
Tongkang karam: Dua warga Indonesia ditahan kerana disyaki jadi ejen dan tekong
Dua lelaki warga Indonesia ditahan kerana disyaki menjadi ejen dan tekong darat dalam insiden bot karam di Sungai Air Hitam, Kuala Langat, awal pagi kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Adnan Abdullah berkata, kedua-duanya yang berusia 44 dan 54 tahun ditahan di sebuah premis di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang pada pukul 3 pagi Jumaat.
Katanya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) Seksyen 26A dan direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Ejen dan tekong terbabit diburu ekoran insiden tongkang yang membawa anggaran 97 pendatang asing tanpa izin karam di perairan Sepang.
Tongkang malang itu dipercayai berlepas dari Jeti Sungai Judah, Pulau Carey kira-kira 11 malam dan karam sejam kemudian.
Berikutan kejadian itu, sehingga kini seramai 63 mangsa berjaya diselamatkan, 14 ditemui mati manakala 20 lagi dilaporkan masih hilang.
#Tongkang karam: Dua warga Indonesia ditahan kerana disyaki jadi ejen dan tekong