Tong gas memasak meletup, bakal pengantin cedera melecur ditidurkan
Siti Norbaya Abidin
Disember 14, 2022 15:50 MYT
Disember 14, 2022 15:50 MYT
TASEK GELUGOR: Bakal pengantin berusia 26 tahun yang melecur hampir keseluruhan badan akibat letupan tong gas petroleum memasak (LPG) di rumahnya di Taman Sena Permai, di sini, semalam kini ditidurkan.
Menurut adik mangsa, Muhammad Azib Muhamad, 25, kakaknya terpaksa ditidurkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) berikutan luka melecur di tubuhnya agak kritikal.
Bagaimanapun, menurut Muhammad Azib, kakaknya, Siti Hajar Hanis dilaporkan stabil dan akan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bertemu pakar kulit.
“Buat masa ini kakak akan dirawat di Hospital Seberang Jaya dulu sebab tiada kekosongan katil di HPP. Nanti bila ada kekosongan katil, kakak akan terus dibawa ke HPP untuk menemui pakar kulit di sana.
“Keadaan kakak buat masa ini stabil selain organ dalamannya juga berada dalam keadaan baik selepas doktor melakukan pemeriksaan,” jelas Muhammad Azib ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Muhammad Azib memberitahu, pihak keluarga masih belum membuat keputusan sama ada mahu meneruskan atau menunda majlis pernikahan kakaknya yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
“Kami akan tunggu kakak sedar dahulu, tengok keadaannya macam mana dan baru akan buat keputusan berhubung perkara itu. Malah kami juga ada berbincang dengan tunang kakak berhubung perkara itu,” katanya lagi.
Dalam kejadian sekitar pukul 7.30 pagi semalam, Siti Hajar Hanis melecur hampir 70 peratus di bahagian badan akibat disambar api selepas tong gas memasak meletup ketika hendak menggoreng ikan.
Kejadian itu turut menyebabkan hampir keseluruhan struktur bangunan rumah teres dua tingkat itu mengalami kerosakan.
Menurut Muhammad Azib, dia dan isterinya kini tinggal di rumah ibu bapanya di Lubuk Meriam sementara kediaman mereka dibaik pulih.