Tong gas meletup punca tiga beranak melecur
Adie Sufian Zulkefli
Jun 13, 2023 06:45 MYT
Jun 13, 2023 06:45 MYT
ALOR SETAR: Polis kenal pasti dua tabung gas oksigen meletup punca mengakibatkan tiga beranak terbakar dan melecur dalam kejadian di Taman Industri Ringan Sri Mergong, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam kejadian itu mangsa yang cedera, Tuah Omar, 54, dan anaknya, Muhammad Firdaus Syawal Abdullah, 5, dipercayai mengalami kecederaan parah dan kini masih dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Manakala seorang lagi mangsa iaitu, isteri mangsa, Noor Azlina Abu Bakar, 34, hanya mengalami cedera ringan di tangan.
"Berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mangsa beralamat dari Kampung Pinang Pedu, pergi ke lokasi kejadian iaitu di sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22 untuk mengisi dua tabung gas oksigen kegunaan bantuan pernafasan untuk kegunaan sendiri.
"Selesai mengisi gas, mangsa membawa dua tong gas terbabit ke dalam kereta untuk pulang ke Johor iaitu kampung isterinya di Kempas, Johor," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ahmad Shukri berkata, secara tiba-tiba kedua-dua gas terbabit dipercayai meletup sehingga mengakibatkan kebakaran kenderaan jenis Proton Wira itu.
Beliau berkata, bapa dan anaknya mengalami kecederaan serius di bahagian badan sedang mendapat rawatan di zon merah dan isterinya yang berada di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan ringan dan dirawat di zon kuning.
"Namun siasatan masih dilakukan oleh pihak bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu," ujarnya.
Astro AWANI melaporkan, tiga beranak melecur selepas kereta yang dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, di sini, sekitar jam 12.30 tengah hari.
Kesemua mangsa berusia antara lima tahun hingga 54 tahun dan dirawat di HSB sejurus selepas kejadian itu.
Kanak-kanak lelaki terbabit melecur 95 peratus manakala bapanya, 80 peratus dan ibunya pula melecur 30 peratus.