Tong bahan kimia di ladang sawit dipindahkan untuk pelupusan

Bernama
Ogos 6, 2019 09:39 MYT
Mohd Sharkar berkata, semua 15 tong bahan kimia itu sentiasa berada dalam keadaan tertutup dengan kemas, sejak ditemui sehingga dipindahkan. - Foto ihsan bomba/fail
Kesemua 15 tong berisi bahan kimia natrium sianida yang ditemui di ladang kelapa sawit di Karak, Bentong dekat sini, pada Khamis, telah dipindahkan ke lokasi selamat, sebelum dilupuskan mengikut cara yang betul.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata operasi pemindahan dilakukan Ahad lalu, oleh kontraktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.
Proses pemindahan itu, menurut Mohd Sharkar diselia rapi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan wakil Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bentong, bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
"Tiada sebarang kejadian tumpahan atau kebocoran berlaku semasa aktiviti pemindahan dijalankan. Semua 15 tong bahan itu juga sentiasa berada dalam keadaan tertutup dengan kemas, sejak ditemui sehingga dipindahkan.
"Selepas proses pemindahan dilaksanakan, Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Bomba dan Penyelamat Gebeng, Kuantan, telah mengambil bacaan udara di ladang kelapa sawit itu dan mengesahkan tiada bacaan hidrogen sianida," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
BACA: Penduduk Karak resah penemuan 15 tong berisi bahan kimia
Mohd Sharkar berkata pihak berwajib termasuk PDT Bentong, Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dan Jabatan Pengairan dan Saliran daerah juga telah melakukan serbuan ke lombong emas di Bentong, yang disyaki berkemungkinan menggunakan bahan kimia tersebut.
Natrium sianida sering digunakan dalam perlombongan emas, iaitu bagi mencuci bahan galian tersebut.
"Bagaimanapun, siasatan mendapati premis lombong emas itu tidak menggunakan bahan kimia yang ditemui, dan kita sedang menggiatkan usaha untuk mencari dan mengenal pasti dalang kes tersebut," katanya.
BACA: Lapan anggota polis loya, muntah selepas terhidu bahan kimia
Mengulas mengenai laporan lapan anggota polis yang menerima rawatan perubatan kerana mengadu tidak sihat selepas melakukan pemeriksaan awal di lokasi kejadian, Mohd Sharkar berkata semua mereka berada dalam keadaan stabil.
Katanya, semua anggota termasuk empat yang dimasukkan ke wad Hospital Bentong adalah sebagai langkah berwaspada oleh pihak kesihatan walaupun ujian yang dilakukan bagi melihat sama ada mereka terjejas dengan bahan kimia itu adalah negatif.
-- BERNAMA
#bacaan udara #bahan kimia #Bentong #karak #kebocoran #Kontraktor #Kuantan #ladang kelapa sawit #lombong emas #Mohd Sharkar Shamsudin #natrium sianida #Pahang #pemindahan #polis #siasatan #tong #tumpahan
;