Tommy dipenjara tiga tahun kerana menyamun

Raffi Bachik
Mac 13, 2018 15:40 MYT
Tommy, 24 tahun dijatuhi hukuman itu sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Norma Ismail.
Bukan sahaja menetap tanpa permit yang sah, malah tindakan berani seorang lelaki warga Indonesia yang melakukan samun, mendapat pembalasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.
Tertuduh Tommy, 24 tahun dijatuhi hukuman itu sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama, dibawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, tertuduh didapati melakukan samun terhadap Adinda Dina Nur Safitri yang juga warga Indonesia dengan mengambil satu dompet berisi empat keping wang RM50, dua keping wang Rupiah Indonesia 20,000 dan 10,000 dan juga passport milik mangsa.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati berada di negara ini tanpa sebarang dokumen sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-keduanya dan juga hendaklah disebat tidak lebih enam sebatan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di jejantas Melaka Sentral, Melaka sekitar 6.30 petang, 29 Januari 2018.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang cuba melarikan diri ke taman perumahan berhampiran, berjaya ditahan orang ramai selepas mangsa dan rakannya menjerit meminta pertolongan.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim memohon hukuman yang setimpal dengan mengambil kira tertuduh merupakan warga negara asing yang tidak mempunyai rekod perjalanan sah, dan tergamak membuat onar di negara ini.
Tambahnya, hukuman yang berat juga perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada masyarakat di luar sana untuk tidak melakukan kesalahan sama.
Tommy yang memakai baju T bewarna coklat dan tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukumannya diringankan.
Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Norma pada penghakimannya kemudian memutuskan hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama serta tiga tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.
Kedua-dua hukuman diperintah berjalan serentak dari tarikh ditangkap.
#mahkamah sesyen ayer keroh #Melaka #Melaka Sentral #Norma Ismail #samun #Tommy #warga Indonesia
;