#TolonglahMaluBossku, kata Khairuddin

Astro Awani
Februari 6, 2019 21:00 MYT
KHAIRUDDIN: Apa yang dilakukan Najib adalah tindakan dirancang dan terancang yang mensasarkan golongan muda. - Gambar AWANI / SHAHIR OMAR
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya malu dan insaf dengan perbuatannya satu masa dahulu yang menyalahgunakan kuasa dengan rakus sehingga ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Najib kini seolah-olah tidak mempunyai rasa bersalah malah kagum dengan sikap dan langkah yang dilakukannya akhir-akhir ini.
"Sesungguhnya, perbuatan rakus Najib dalam kesalahan mentadbir kerajaan dan rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana kesan kerosakan ekonomi negara dapat dirasai sehingga kini dan kemungkinannya untuk beberapa tahun lagi.
"Sebanyak 32 juta rakyat malaysia terpaksa memikul kesan buruk itu kini dan apakah kita boleh gembira dengan situasi yang memeritkan ini selain melupakan begitu sahaja kesalahannya kerana dia kini kerap bersama rakyat?
"Bagi saya Najib bertanggungjawab merosakkan keadaan negara dari segi ekonomi, politik dan sosial. Jadi kempen 'Malu Apa Bossku' yang dicanangnya di sana sini harus segera ditukar kepada 'Tolonglah Malu Bossku'," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
BACA: Mana nak pohon permit 'selfie'?- Najib
BACA: Bawa bertenang, 'berselfie' pun salah ke? - Najib
Najib akhir-akhir ini sering menyindir Pakatan Harapan (PH) dengan catatan di laman Facebooknya.
Selepas mempersoalkan tindakan anggota PH yang membuat laporan polis ke atasnya kerana tindakan swafotonya di Langkawi, Najib turut menyambung pertanyaan di mana boleh memohon permit untuk berswafoto.
Tegas Khairuddin, apa yang dilakukan Najib adalah tindakan dirancang dan terancang yang mensasarkan golongan muda.
"Anak-anak muda yang tidak peka dengan kesan serta bahana ini diminta tidak mempermainkan langkah Najib kerana ia bukan soal yang boleh dibuat jenaka.
"Perbuatan Najib sebelum ini memerlukan masa yang panjang untuk dibaiki kerajaan masa kini. PH kini sedang cuba meletakkan semula asas ekonomi di landasan asal kemakmuran negara seperti yang pernah kita kecapi," katanya.
Tambah Khairuddin, segelintir anak muda yang beria-ia cuba menegakkan 'benang yang basah' harus bertanya Najib mengapa tiada tindakan dikenakan ketika laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di buat ke atasnya jika perkara itu benar-benar tidak berasas.
"Pada tahun 2014 serta 2015 ketika saya membuat laporan polis, SPRM serta kepada enam pihak penguatkuasa undang-undang di Singapura, Hong Kong, Perancis, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat ke atas Najib.
"Namun, biarlah undang-undang membuktikannya perbicaraan ke atas Najib yang akan bermula dalam sedikit masa lagi.
"Najib mungkin mampu menipu rakyat namun tidak boleh mempermainkan ketentuan tuhan nanti," jelasnya.
#Amerika Syarikat #Hong Kong #kerajaan #Khairuddin Abu Hassan #Langkawi #Najib Razak #Pakatan Harapan #PRU14 #selfie #SPRM
;