'Tolong jangan beri sokongan palsu kepada Najib' - Khairuddin
Wan Syamsul Amly
Mei 24, 2015 10:20 MYT
Mei 24, 2015 10:20 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak harus segera sedar bahawa majoriti sokongan yang diterimanya daripada rakyat kini adalah palsu selain bakal membawa rebah kepada UMNO sendiri jika tiada langkah strategik untuk mengatasinya.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Najib juga diminta tidak lagi percaya kepada bilangan rakyat yang mencecah puluhan ribu orang yang hadir ke setiap majlis membabitkannya di seluruh negara.
"Najib kena sedar dan tidak mudah percaya dengan himpunan sokongan rakyat yang dilihat di dalam majlis yang dihadirinya akhir-akhir ini. Mereka dikatakan diminta hadir dan diberi sedikit saguhati untuk menunjuk muka dan duduk di dalam khemah majlis.
"Realitinya hari demi hari sokongan akar umbi kepada Najib semakin menurun. Najib jangan syok sendiri dan harus menilai semula keikhlasan sokongan rakyat kepadanya sekarang jika mahu UMNO terus berkuasa pada masa depan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Khairuddin mengulas kenyataan Najib yang yakin dengan sokongan ikhlas yang ditunjukkan rakyat sekali gus memberikan semangat kepadanya untuk terus berjuang walaupun mendapat tekanan daripada pihak tertentu sejak kebelakangan ini.
Najib berkata, hasil lawatan ke beberapa negeri baru-baru ini menunjukkan rakyat akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinannya bagi meneruskan agenda pembangunan negara yang masih belum selesai.
Khairuddin turut melahirkan rasa bimbang jika Najib tidak melakukan perubahan segera sebelum musim Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bermula.
"Najib mungkin menghadapi risiko besar pada PRU depan dengan pelbagai isu-isu besar yang sedang melanda negara dan kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepincangan pentadbirannya menambah lagi getirnya.
"Banyak bukti termasuk penurunan sokongan anak-anak muda pada Pilihan raya Kecil (PRK) Rompin baru-baru ini membuktikan apa yang dibimbangkan mungkin berlaku. Ia hanya satu contoh yang dilihat tidak membabitkan kritikan terbuka di laman sosial milik Najib sendiri.
"Ia menjadi semakin menakutkan apabila dilapor kira-kira enam juta pengundi muda baharu akan menzahirkan sokongan mereka pada PRU depan, kita tidak tahu mereka ini akan menyokong siapa, jika bukan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO, maknanya ia bakal menjadi mimpi buruk kepada parti" ujarnya.
Kata Khairuddin lagi, UMNO harus segera mencari titik pertemuan penyelesaian isu ini dengan cara terbaik yang melihat kepentingan dan situasi menang-menang bagi semua pihak.
"Dengan kekuatan media sosial dan teknologi selain mudahnya kini maklumat tersebar, saya rasa UMNO tidak boleh menutup kelemahan mereka lagi terhadap kepincangan jawapan kepada isu semasa yang hangat akhir-akhir ini," jelasnya.
Pada Ahad, bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Affifuddin Omar memberitahu, sokongan yang hanya datang dari ketua UMNO bahagian merupakan petanda tidak baik kepada Najib.
Katanya, perkara tersebut dapat dilihat dari apa yang berlaku ketika pilihan raya kecil Rompin dan Permatang Pauh awal bulan ini.