'Tolong hentikan kemusnahan kediaman kami' - Orang Asli
Dendi Johari
April 22, 2016 16:38 MYT
April 22, 2016 16:38 MYT
NAMA saya Dendi Johari dan saya adalah orang suku kaum Temiar. Nenek moyang saya sudah duduk bergenerasi di kawasan hutan Kelantan kian lama sebelum kedatangan orang Melayu, Cina dan India ke Tanah Melayu.
Tujuan saya menulis surat ini ialah untuk merayu kepada rakyat Malaysia untuk membantu kami menghentikan kemusnahan hutan.
Sejak kebelakangan ini, hutan di daerah Gua Musang banyak ditebang. Kami mengalami kesulitan dan penderitaan yang amat sangat akibat penebangan hutan yang berleluasa sampai mengakibatkan pencemaran air, kehilangan khazanah hutan, tanah adat dan mata pencarian kami.
Hutan itu sangat penting untuk kehidupan dan adat kaum Orang Asli. Ia tempat kediaman kami, tempat kami mencari makanan seperti buruan, tumbuhan dan ubat-ubatan, ia tempat kami mendapatkan air untuk minum dan membersih, dan tempat kami beribadah.
Ia juga tempat perkuburan nenek moyang kami. Pendek kata, tanpa hutan dan alam semulajadi, kami akan kehilangan bukan sahaja keperluan asas, tetapi identiti dan adat resam kami.
Semalam, saya menerima panggilan daripada syarikat pembalakan yang sedang kami buat rundingan sejak beberapa bulan.
Tauke balak itu mengancam saya bahawa dia akan membawa polis jika kami cuba untuk menghalang mereka daripada menebang pokok-pokok. Tanah pusaka dan kawasan buruan kami termasuk dalam kawasan itu.
Kami telah cuba membuat beberapa sekatan untuk menghalang pencerobohan ke dalam tanah adat kami untuk melambatkan usaha mereka. Terdapat satu lagi syarikat pembalakan yang telah diberi konsesi pembalakan untuk 1,000 ekar di sekitar kampung saya, iaitu Kampung Jader, Gua Musang.
Kami cuba untuk menghentikan pembalakan tetapi gagal. Setiap hari, kami menangis melihat beratus-ratus pohon yang berusia beratus, bahkan beribu tahun dengan ketebalan batangnya lebih besar daripada ketinggian saya dibawa keluar oleh traktor dan lori.
Apabila pokok-pokok ditebang, tanah menjadi berlumpur merah bila musim hujan dan kering berdebu bila musim panas. Tidak ada apa-apa yang boleh hidup di atasnya.
Hutan itu bukan sahaja penting untuk kaum Orang Asal, bahkan satu khazanah ciptaan Tuhan untuk manusia sejagat. Tanpa hutan, kita akan kehilangan tempat tadahan air. Apabila kemarau, sungai akan kering, justeru itu aras empangan air akan jatuh ke aras di mana kita terpaksa membuat catuan air.
Hutan juga tempat perlindungan pelbagai spesis flora dan fauna. Di dalam hutan lah tersembuniynya herba-herba ubatan yang mampu menjadi penawar untuk pelbagai jenis penyakit kecuali kematian. Jika hutan itu dimusnahkan, kita akan kehilangan segala khazanah yang diberikan oleh Tuhan kepada kita.
Tahun ini, kami menderita kerana kepanasan dan kemarau. Terlalu sedikit air sungai untuk keperluan kami. Sungai kami banyak dicemari oleh ledak-ledak dari penebangan hutan dan pemotongan bukit-bukau, serta racun perosak dan racun herba yang mengalir ke sungai dari estet kelapa sawit selepas hujan.
Ramai antara anak-anak kami dan orang yang lebih berusia telah jatuh sakit akibat minum air sungai yang tercemar. Penebangan hutan yang berleluasa juga mengakibatkan banjir, seperti banjir besar di Kelantan tahun lepas. Beribu-ribu orang kehilangan rumah serta mengalami kemusnahan harta benda bernilai berjuta-juta ringgit.
Sebagai pemimpin belia masyarakat saya, saya telah pergi ke Putrajaya untuk cuba mendapatkan bantuan daripada JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) tetapi malangnya menurut JAKOA, mereka tiada kuasa untuk menghalang pembalakan.
Dalam perjalanan ke Putrajaya, saya melihat jerebu telah kembali. Ini juga asap daripada pembakaran hutan. Di mana-mana sahaja manusia memotong dan membakar hutan.
Adakah manusia tidak memahami bahawa banjir, kemarau dan jerebu adalah akibat daripada kemusnahan hutan? Adakah manusia tidak melihat kita sedang memusnahkan khazanah alam semulajadi kita apabila kita menebang hutan?
Saya, sebagai mewakili kaum saya, memohon dengan tulus ikhlas dan rendah diri semoga dihentikan kemusnahan ini.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Dendi ialah Pengerusi Pemuda Jaringan Kampung Orang Asli (JAKOA) Kelantan. Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
** Dendi mendakwa ada syarikat pembalakan telah diberi kelulusan oleh Menteri Besar Kelantan untuk menebang 400 ekar hutan asli di kawasan Kampung Berig. Kami mengeluarkan petikan ayat tersebut dan sedang mendapat pengesahan daripada pihak terbabit mengenai dakwaan itu.