'Tolong doakan Fatimah' - Sukar bernafas, oksigen menurun, doktor sahkan jangkitan kuman
Astro Awani
November 16, 2021 13:17 MYT
November 16, 2021 13:17 MYT
KANAK-KANAK cilik yang pernah viral satu ketika dahulu kerana kepetahannya bercakap dalam loghat Kelantan, Fatimah Omar Mukhlis dimasukkan ke hospital selepas mengalami jangkitan kuman di paru-paru.
Perkara itu dikongsi menerusi Instagram keluarganya, @thefamily.uk yang turut meminta orang ramai supaya mendoakan si comel yang dilahirkan di United Kingdom (UK) itu kembali sihat.
“Tolong doakan Fatimah. Dia sangat tidak sihat, sakit dada dan sukar untuk bernafas.
"Kini berada di bahagian kecemasan menunggu ambulans untuk memindahkannya ke hospital lain,” katanya, pada Selasa.
Menurut laman sosial itu, paras oksigen kanak-kanak itu juga dilaporkan menurun ketika di dalam ambulans.
Difahamkan Fatimah telah pun dipindahkan ke hospital kanak-kanak dan punca penyakit dialaminya sudah dikenal pasti.
“Fatimah mengalami jangkitan kuman (chest infection).
“Fatimah sudah dipindahkan ke hospital kanak-kanak,” katanya.
Rata-rata netizen mendoakan agar si cilik itu segera sembuh.
“Allahuakbar, semoga dipermudahkan segala urusan Fatimah sekeluarga," tulis seorang warga net.
Populariti diraih si comel, Fatimah, di laman sosial memang cukup hebat apabila Instagram yang sering menampilkan keletah kanak-kanak perempuan itu dan adik-beradiknya diikuti hampir 600,000 orang seawal usianya empat tahun.
Fatimah yang dilahirkan di Birmingham, England menarik perhatian ramai kerana tidak melupakan bahasa Melayu walaupun membesar di perantauan.
Dia juga fasih ‘kecek kelate’ hasil didikan ibu bapanya yang tidak mahu anak mereka melupakan bahasa ibunda.
Selain bahasa Melayu, Fatimah juga fasih berbahasa Inggeris dan Siam
Dalam hantaran terbaharu, keluarga itu memaklumkan Fatimah dalam keadaan stabil namun masih berada dalam pemantauan.
"Fatimah dalam keadaan stabil but still under observation.
"Nebuliser off. Covid swab test negative."