'Tolong doakan anak saya...' - Ibu Muhammad Umar Zayyan
Sinar Harian
Ogos 25, 2018 10:18 MYT
Ogos 25, 2018 10:18 MYT
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, tolong doakan anak saya,” kata Zura Emilia Mokhtar, 26, berhubung keadaan anaknya yang kini kritikal di Unit Rawatan Rapi Peditrik (PICU) Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sejak Selasa lalu.
Muhammad Umar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz berusia empat bulan dimasukkan ke hospital selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan pengasuhnya pada Isnin lalu sebelum disahkan mengalami pendarahan otak dan mata.
Menurutnya, ketika kejadian, dia dihubungi oleh pengasuh yang memberitahu anak tunggalnya itu tidak sedarkan diri.
“Saya kemudian hubungi suami dan dia mengambil anak kami lalu dibawa ke hospital sebelum ditahan di wad tapi keesokannya anak saya dimasukkan ke PICU kerana keadaannya yang kritikal.
“Sekarang ini dia bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan. Saya bukan nak viral pun berkenaan perkara ini tapi cuma nak panjangkan doa,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, katanya, dia belum bersedia memberi kenyataan lanjut berhubung kejadian berlaku kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.
Malah, Zura Emilia berkata, dia juga tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara berkenaan.
Terdahulu, kejadian menimpa bayi tersebut tular di media sosial selepas dikongsi netizen.
Turut dinyatakan, doktor yang merawatnya mengesan kesan lebam di perut dan paha.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh sahkan terima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Ibu bayi berkenaan buat laporan Isnin lalu selepas pengasuh beritahu anaknya lemah dan menangis dengan kuat.
“Suaminya kemudian ke rumah pengasuh di Taman Sri Mambau di sini dan membawanya ke hospital,”katanya.
#bayi
#bayi empat bulan
#dera
#Hospital
#Kanak-kanak
#kritikal
#Muhammad Umar Zayyan
#pengasuh
#Seremban