'Tolong balik, mama minta maaf.. lepas ni tak marah dah' - Ibu rayu anak pulang
Astro Awani
April 17, 2019 18:25 MYT
April 17, 2019 18:25 MYT
Seorang ibu merayu dua orang anaknya yang dipercayai melarikan diri dari kediaman mereka di Taman Jujur, Sikamat, Seremban pada Ahad lalu untuk pulang.
Hasina Begum Hassan, 31 tahun memberitahu, terdapat sedikit perselisihan faham antara mereka dan kemungkinan besar ia menjadi punca dua anak perempuannya itu melarikan diri.
Menurut Hasina, jiran-jiran mendakwa terlihat Nurzahidah Zahid Hussain, 14 tahun bersama adiknya Nurhidayah Zahid Hussain, 8 tahun melarikan diri melalui tingkap belakang rumah kedai yang disewanya pada sekitar tengahari Ahad.
Hasina yang tiada di rumah ketika itu kemudiannya membuat laporan polis pada keesokan harinya setelah pencarian anaknya itu menemui jalan buntu.
Dia juga berasa khuatir akan keselamatan anaknya itu setelah tiada respons daripada panggilan dan pesanan ringkas yang dihantarnya.
“Dia tak telefon tapi saya ada hantar mesej pada dia, ‘tak rindu saya ke?’.
“Saya hantar video, tapi dia tak tengok… ada cuba telefon tapi (mungkin) dia tukar sim kad. Saya takut lah,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Hasina yang bekerja sambilan dengan mengambil upah mengemas rumah juga telah cuba mencari anaknya itu di rumah kenalan dan keluarga namun mereka gagal ditemui.
“Tolong balik… mama minta maaf dekat dia orang, lagi lain kali kalau jadi apa-apa masalah mama tak nak cakap apa pun, tak nak marah dekat dia orang.
“Tolong balik, mama minta maaf… sujud kaki (bila mereka) balik kat rumah. Mama tak nak buat apa pun. Kalau anak mama nak bebas, mama bagi bebas saja, tapi jangan tinggal saya,” rayu Hasina.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Supritendan Rosli Ishak ketika di hubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kehilangan itu dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihaknya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terkini mengenai kehilangan dua remaja berkenaan boleh menghubungi pihak polis.
SM AHMAD FAUZI OTHMAN
0196313633
IPD SEREMBAN
066033222
HASINA BEGUM HASSAN
0176141653
#dua anak perempuan
#Hasina Begum Hassan
#Ibu rayu anak pulang
#lari dari rumah
#Nurhidayah Zahid Hussain
#Nurzahidah Zahid Hussain
#Taman Jujur