'Tolong, anak-anak saya perlukan darah O positif'
Radhi Muslim
Jun 7, 2021 21:33 MYT
Jun 7, 2021 21:33 MYT
BELURAN: Seorang petani merayu supaya orang ramai tampil menderma darah jenis O positif untuk tiga anak perempuannya yang menghidap penyakit talasemia di Kampung Muanad Tiga, di sini.
Radin Anggung, 61, berkata, ketiga-tiga anaknya yang berusia antara 10 hingga 20 tahun sepatutnya menerima transfusi darah jenis itu setiap bulan.
Namun, katanya disebabkan hospital mengalami kekurangan bekalan, anak sulungnya, Risma, 20, tidak menerima tambahan darah sejak April lalu.
"Anak kedua, Risda yang berusia 15 tahun pula kali terakhir menerima bekalan darah pada awal Mei lalu dan belum menerima darah tambahan untuk bulan ini.
"Keadaan ini menyebabkan kedua-dua mereka berada dalam keadaan amat lemah dan sukar berjalan. Keadaan mereka membimbangkan saya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dia berkata, seorang lagi anaknya, Rinnie, 10, sudah menerima transfusi darah awal bulan ini.
Radin berkata, walaupun kerap membuat rayuan secara umum kepada masyarakat dengan menggunakan pelbagai cara, dia membuang rasa malu kerana tidak mahu berputus asa mencari penderma darah untuk anak-anaknya.
Katanya, pada bulan Mac lalu, seramai 54 penderma dari dari beberapa daerah di Sabah tampil menderma, manakala bagi bulan Mei (10 penderma).
"Tetapi, sehingga kini saya dimaklumkan oleh pihak hospital, bekalan darah belum mencukupi untuk dua lagi anak saya ini," katanya.
Justeru katanya, dia sekali lagi merayu orang ramai tampil membantu dengan menghubunginya di talian 019-8875042.