Tolak tambak laut keutamaan pembangkang sidang Dewan akan datang - Najib

Astro Awani
Julai 28, 2019 18:06 MYT
Najib berkata, kerajaan BN sebelum ini tidak pernah bersetuju atau meluluskan projek tambak laut tersebut meskipun cadangan berkenaan pernah dibangkitkan ketika BN berkuasa. - Gambar fail
Isu projek tambak laut di perairan selatan (PSR) bagi membentuk tiga buah pulau buatan di Pulau Pinang akan terus dibangkitkan pembangkang pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Datuk Seri Najib Razak berkata isu itu akan menjadi keutamaan ahli Parlimen pembangkang memandangkan projek tersebut dakwanya berpotensi menjejaskan kehidupan kira-kira 4,000 nelayan.
Tegasnya yang merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), blok pembangkang akan menggunakan semua saluran yang ada, termasuk menerusi perundangan, untuk menolak projek berkenaan.
Malah Ahli Parlimen Pekan itu juga menambah, pihaknya akan terus membangkitkan kesedaran orang ramai berhubung kesan dan risiko daripada projek itu, khususnya kepada nelayan dan ekosistem laut negeri itu.
"Sudah tentu rancangan ini akan menjejaskan mata pencarian para nelayan. Justeru, saya menentang cadangan ini dan berharap kerajaan dan pihak berkuasa akan kaji semula.
"Sebab, kesannya terlalu buruk kepada keadaan hidup nelayan yang seramai 4,000 orang itu," katanya selepas bertemu para nelayan dan meninjau tapak cadangan projek tambak laut itu di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar, di sini, hari ini.
BACA: Anwar sokong Pulau Pinang dapatkan dana persekutuan biayai projek PIP
Katanya, kerajaan BN sebelum ini tidak pernah bersetuju atau meluluskan projek tambak laut tersebut meskipun cadangan berkenaan pernah dibangkitkan ketika BN berkuasa.
Malah, kata Najib, kerajaan BN juga meletakkan kepentingan para nelayan sebagai keutamaan seperti dalam pemberian elaun sara hidup RM300, sebelum diturunkan kepada RM200, oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
BACA: Projek tambak laut bentuk tiga pulau buatan selatan Pulau Pinang dilulus MPFN
Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar itu di Permatang Damar Laut bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.
Mengikut perancangan, pulau buatan itu akan dijual bagi mendapatkan modal untuk melaksanakan komponen projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang bernilai RM46 bilion.
#Barisan Nasional #Dewan Rakyat #Elaun Sara Hidup #Najib Razak #nelayan #Pakatan Harapan #Parlimen #Pelan Induk Pengangkutan #pembangkang #PSR #pulau buatan #tambak laut
;