Tolak politik ke tepi, bersatu jaga kebajikan rakyat - Muhyiddin

Madiha Abdullah
Disember 31, 2020 21:39 MYT
Muhyiddin turut menekankan aspek good governance atau tadbir urus yang baik, yang akan memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi negara. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pemimpin politik diingatkan agar menunjukkan teladan dan tidak bertindak melulu sehingga mengganggu kestabilan negara.
Nasihat itu disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mahu kebajikan rakyat didahulukan, terutama ketika negara sedang berjuang melawan pandemik COVID-19.
"Jutaan rakyat telah terjejas dengan pandemik ini, maka adalah lebih baik jika kita pamerkan kematangan dalam berpolitik dan terus memahami keluh-kesah, dan mendengar denyut nadi kemahuan rakyat.
"Adalah baiknya jika kita menolak ke tepi soal politik dan bersatu demi memelihara kebajikan rakyat," katanya dalam Perutusan Sempena Tahun Baharu 2021, malam ini.
Muhyiddin turut menekankan aspek good governance atau tadbir urus yang baik, yang akan memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
"Saya percaya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik akan mampu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.
"Saya percaya jika kita bekerja demi rakyat, mendahulukan rakyat, membela rakyat maka sudah tentu rakyat akan terus menyokong segala usaha kerajaan demi kebaikan bersama," katanya.
Perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena #TahunBaharu2021
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #ekonomi #politik #rakyat #pandemik #COVID-19
;