Tolak isteri jatuh kondominium, tukang masak dituduh membunuh

Dewi Nur Harasha Alias
April 19, 2021 16:13 MYT
Daneesh Xavier didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Lelaki yang didakwa menolak isterinya dari sebuah Kondominium, di Ayer Itam, George Town minggu lalu di hadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang di sini hari ini atas tuduhan membunuh.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Daneesh Xavier, 34, selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai tukang masak itu didakwa membunuh isterinya, S. Primila, 35, dengan menolak mangsa jatuh dari tingkat 18 di Kondominium Bukit Awana, Jalan Bukit Kukus, Ayer Itam pada kira-kira 12 tengah malam, 10 April lalu.
Jenayah | Bukan jatuh, rupanya ditolak suami dari tingkat 18
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan, manakala Daneesh tidak diwakili peguam.
Jamaliah kemudiannya menetapkan 26 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
Minggu lalu polis menahan tertuduh setelah dia mengaku menolak isterinya keluar dari tingkap kondominium mereka di tingkat 18 hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.
Tuduh Bunuh Isteri | Tukang masak dihadapkan ke mahkamah
Mayat wanita itu ditemui terdampar di atas bumbung bilik panel suis milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Mangsa yang bekerja sebagai ejen insuran meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah akibat terjatuh dari tempat tinggi.
#tolak isteri #jatuh kondominium #Daneesh Xavier #Mahkamah Majistret #meninggal dunia #tukang masak dituduh membunuh
;