Tolak ICERD: Ini keputusan Kabinet, tak perlu bawa ke Parlimen - PM
Israr Khalid
November 24, 2018 23:02 MYT
November 24, 2018 23:02 MYT
Keputusan untuk tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah keputusan Kabinet yang tidak bermotifkan politik.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, ia adalah kehendak rakyat yang mempertahankan keluhuran Perlembagaan.
“Hal yang hendak diratifikasi ini (ICERD) benda rumit dan sama ada diterima rakyat atau tidak, dan jelas rakyat tidak menerimanya.
“Lagipun untuk meminda Perlembagaan perlu majoriti dua pertiga. Kerajaan ketika ini pun tidak cukup dua pertiga, malah ramai juga dalam kerajaan yang tidak setuju dengan perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Bertemu Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan di sini hari ini.
Malah beliau turut membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa cara kerajaan membuat keputusan berhubung hal tersebut dengan sekadar mengeluarkan kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri adalah tidak mengikut formaliti yang sebetulnya.
“Ini keputusan Kabinet yang bersidang pada Jumaat lepas sebelum kita buat keputusan itu. Ia tidak perlu untuk dibawa ke Parlimen dan sebagainya.
“Tanya dia (Zahid), masa dia bercakap dia ikut cara yang betul atau tidak?,” ujarnya.
Zahid semalam berkata, keputusan itu hanya boleh disahkan menerusi tandatangan Perdana Menteri sendiri, kemudian diusul ke Parlimen untuk direkodkan dalam hansard rasmi.
Pada masa sama, beliau tidak menghalang sekiranya masih ada pihak yang mahu mengadakan demonstrasi jalanan untuk menyatakan suara mereka tentang ICERD.
Kata beliau, ini negara demokrasi dan rakyat berhak menyuarakan pendapat dan pandangan masing-masing.
“Jangan buat sampah sudahlah,” selorohnya.