Tolak gaji PM, Anwar mahu buktikan ahli politik tidak gila harta

Fareez Azman
Januari 14, 2023 14:49 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menunjukkan bahawa tidak semua tokoh politik itu gila harta dan hendak memunggah kekayaan. - Prime Ministers Office of Malaysia
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tindakannya menolak gaji Perdana Menteri sejak memegang tampuk pentadbiran negara, adalah untuk membuktikan kepada rakyat bukan semua ahli politik mahu memunggah kekayaan.
Menjawab dalam wawancara media Indonesia yang disiarkan pada malam Jumaat, jelas Anwar, tindakan itu juga diambil kerana masih ada rakyat ketika ini dalam keadaan miskin.
"Pertama kerana rakyat masih ada yang miskin, kedua saya menolak gaji saya (namun) masih ada gaji kecil Ahli Parlimen, dan semuanya percuma... naik kereta tidak perlu bayar tol, bertahanlah sedikit.
"Kerana saya nak menawan hati rakyat, nak menunjukkan bahawa tidak semua tokoh politik itu gila harta dan hendak memunggah kekayaan.
"Walaupun ia agak mempersulitkan sedikit, tapi alhamdulilah Azizah dan anak-anak menerima kenyataan itu," katanya ketika ditanya mengenai tindakannya itu.
Mengulas lanjut, tambah Perdana Menteri, beliau lebih memilih untuk turun ke lapangan untuk mendengar sendiri luahan rakyat.
"Itu sebabnya saya memilih jalan sedemikian, tetapi soal sifat kemanusiaan, saya kenal tokoh-tokoh masyarakat sivil, ahli politik dan para intelek.
"Sebaik sahaja mereka itu naik ke satu kedudukan yang tinggi, sudah masuk ciri yang disebut 'keangkuhan kuasa'.... (hal) itu memperingatkan saya.
"Sebab itu acara saya mesti turun ke bawah, ke warung, mendengar rintihan mereka. Kita tidak ada semua jawapan, kita harus mendengar belajar secara kritis. Bila bicara soal ekonomi dan Islam itu seolah-olah tidak boleh dibahas. (sedangkan) dalam Islam itu dibolehkan - untuk bertanya dan berbahas," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dengan televisyen Indonesia, Nation Hub: Special Interview Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan di saluran CNBC Indonesia TV disiarkan pada malam Jumaat.
#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #gaji perdana menteri #rakyat
;