Tolak cadangan hapus kuota perumahan Bumiputera - MTEM

Najib Aroff
Oktober 5, 2018 18:41 MYT
MTEM bagaimanapun mengakui sejumlah 80,000 unit yang disediakan untuk Bumiputera masih belum terjual di negeri berkenaan namun menegaskan 40 peratus kuota harus dikekalkan - Foto AstroAWANI
Kerajaan negeri Johor dinasihat untuk menolak cadangan menghentikan kuota dan diskaun perumahan untuk Bumiputera bagi hartanah bernilai lebih RM1 juta, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Yazid Othman berkata cadangan itu hanya menjadi alasan pemaju hartanah untuk mengelak membayar caj penukaran satus unit itu untuk penjualan kepada bukan bumiputera.
“MTEM percaya Persatuan Pemaju Perumahan (Rehda) Johor hanya memikirkan kepentingan ahlinya dengan melobi pemansuhan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu bagi mengulas kenyataan oleh Rehda Johor bahawa unit bagi Bumiputera untuk harga lebih RM1 juta dalam semua kategori kekal tidak terjual susulan permintaan rendah.
Yazid turut memberi amaran jika cadangan itu dipersetujui, kerajaan Johor akan kehilangan sumber pendapatan besar dari pembayaran caj untuk penukaran status.
Ia melibatkan jumlah RM600 juta dan jumlah itu cukup untuk membina enam ribu rumah di bawah Skim Perumahan Mampu Milik Johor (RMMJ).
MTEM bagaimanapun mengakui sejumlah 80,000 unit yang disediakan untuk Bumiputera masih belum terjual di negeri berkenaan namun menegaskan 40 peratus kuota harus dikekalkan bagi mengalakkan pemilik hartanah oleh Bumiputera.
#Bumiputera #ekonomi #kuota Bumiputera #MTEM #perumahan #Perumahan Johor #REHDA #RMMJ
;