Tol sakitkan hati, sesakkan lalu lintas - PM Najib

Luqman Hariz
Februari 22, 2018 19:46 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi ucapan ketika hadir pada Program Bajet 2018 Bersama Rakyat dan Pelancaran Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan UKM hari ini. - fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan kutipan tol dalam bandar sebagai menyakitkan hati dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Saya tidak percaya kalau kita kenakan tol setiap hari, ianya baik untuk rakyat. Kalau Lebuhraya Utara-Selatan atau Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, ya, bayar tol sekali-sekala. Tetapi kalau bayar tol hari-hari, dua kali, empat kali, sesiapa pun sakit hati,” kata PM Najib ketika berucap di sesi perkongsian Bajet 2018 Bersama Rakyat di Pusat Perubatan UKM (HUKM) di ibu negara di sini hari ini.
“Pemimpin terdahulu sangat percaya dengan (keberkesanan) tol. Saya tidak suka tol. Sebab itu Lebuhraya Pan Borneo tiada tol demi penduduk Sabah dan Sarawak, juga Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam, Eastern Dispersal Link, dan tol Cheras sebelum ini, kita mansuh," tambahnya.
Beliau turut berkata akan berusaha untuk memansuhkan tol di mana-mana kawasan yang sesuai.
“Di mana yang boleh, saya akan hapuskan tol.
“Menyakitkan hati dan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Kita boleh lakukannya (hapuskan tol) kerana saya perlu betulkan keputusan- keputusan yang dibuat pentadbiran terdahulu,” kata PM Najib.
#Bukit Kayu Hitam #Eastern Dispersal Link #kutipan tol #lebuhraya #Lebuhraya Pan Borneo #Najib Razak #Sabah #Sarawak #Sungai Rasau #Tol Batu Tiga
;