Tol percuma sempena Krismas

Afiezy Azaman
Disember 21, 2024 09:20 MYT
Pengecualian tol itu hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol, kecuali di plaza tol di sempadan negara. - Gambar hiasan/PLUS
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pengecualian tol untuk kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sempena sambutan Hari Krismas 2024, pada Rabu depan.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, langkah ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM38 juta yang akan dibayar kepada syarikat konsesi tol.
"Pengecualian tol ini bertujuan memberikan peluang kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, budaya, dan agama untuk bersama-sama meraikan Krismas, khususnya bagi penganut Kristian.
"Inisiatif ini akan bermula dari 12.01 tengah malam, 23 Disember 2024 (Isnin) sehingga 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa) di semua plaza tol kecuali Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Johor Darul Takzim," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Justeru itu, Alexander menasihatkan pengguna lebuh raya untuk memanfaatkan pengecualian tol dengan bijak dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa musim cuti.
Katanya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyarankan pengguna mematuhi jadual waktu perjalanan (Travel Time Advisory, TTA) untuk memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan.
"Antara langkah keselamatan yang perlu diambil adalah memastikan kenderaan dalam keadaan baik, termasuk tayar, menyemak baki kad Touch 'n Go atau eWallet, mematuhi papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di sistem mesej berubah (Variable Message System, VMS).
"Pengguna lorong Smart Lane dinasihatkan memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong, memandu dengan kelajuan yang sesuai dan sentiasa peka dengan keadaan sekitar manakala penunggang motosikal pula disarankan untuk berhenti di tempat teduhan yang disediakan dan berhati-hati ketika trafik tinggi," ujarnya.
Tambah beliau, pengguna jalan raya boleh memantau keadaan trafik semasa, pengguna boleh merujuk saluran rasmi LLM.
Pengguna juga katanya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 atau melayari laman sesawang https://www.llm.gov.my untuk mendapatkan maklumat terkini, termasuk paparan CCTV di lebuh raya.
"Kerajaan Madani berharap langkah ini dapat meningkatkan keselesaan rakyat dalam menyambut Krismas, sekaligus memperkukuh semangat perpaduan rakyat Malaysia," katanya.
#tol percuma #Krismas #Alexander Nanta Linggi #lebuh raya
;