Tol percuma sehari setiap minggu hanya beri sedikit kebaikan - FOMCA

Haider Yutim
Januari 7, 2014 19:30 MYT
Cadangan supaya tol diadakan percuma sehari setiap seminggu tidak akan mendatangkan banyak perbezaan dari segi kos sara hidup, kata Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Paul Selvaraj, tindakan itu hanya memberi sedikit manfaat kepada pengguna kenderaan pada hari tersebut sahaja.
“(Cuma) lebih ramai akan menggunakan kenderaan pada hari itu. Adalah lebih baik jika mereka mengadakan kempen tentang penggunaan pengangkutan awam.
“Tetapi perkhidmatan pengangkutan awam juga harus diperbaiki,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Paul berkata, cadangan tersebut akan lebih berkesan sekiranya kempen pengangkutan awam diadakan seiringan dengan ‘hari tanpa tol’ tersebut.
“Kita mahu orang ramai berpindah secara berperingkat ke pengangkutan awam… galakkan penggunaanya. Tol percuma hanyalah salah satu cara untuk berjimat,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata Paul, FOMCA menyambut baik cadangan tersebut serta apa-apa langkah yang boleh menjimatkan wang pengguna.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) DAP-Kinrara, Ng Sze Han baru-baru ini telha mencadangkan agar tol diberi ‘cuti’ sekurang-kurangnya sehari seminggu bagi mengurangkan beban rakyat khususnya di Puchong.
Katanya, perkara itu mampu dilaksanakan menerusi sumbangan keuntungan syarikat konsesi kepada kerajaan negeri yang dianggarkan bernilai RM27 juta setahun.
Menurut Ng, kerajaan negeri Selangor boleh menggunakan keuntungan itu untuk menampung bayaran tol percuma sehari setiap seminggu.
Katanya pemberian tol percuma itu boleh dilaksanakan di Leburaya Kesas kerana kerajaan negeri mempunyai pegangan dalam syarikat Kesas Holdings Bhd.
#Datuk Paul Selvaraj #Fomca #jimat #KESAS #pengangkutan awam #tol
;