Tol percuma musim perayaan: Kerajaan teliti mekanisme terbaik - PM

Harits Asyraf Hasnan
Januari 23, 2025 12:30 MYT
Anwar berkata, subsidi tol tidak boleh terus diberikan kepada golongan berkemampuan sama seperti subsidi elektrik dan minyak. - Gambar hiasan
DAVOS: Kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik bagi pemberian tol percuma pada musim perayaan kepada golongan B40 dan M40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penelitian tersebut perlu dibuat agar rakyat yang terkesan diberi pertimbangan sewajarnya berkaitan isu tersebut.
Katanya subsidi tol tidak boleh terus diberikan kepada golongan berkemampuan sama seperti subsidi elektrik dan minyak.
"Ada yang bangkitkan (persoalan) kenapa tol percuma turut diberikan kepada semua. Kereta-kereta kaya (mahal) seperti Rolls-Royce, Mercedes, Maserati - semua dapat juga.
"Jadi ini juga kita kena harus teliti supaya rakyat terkesan, yang berada di bawah diberi pertimbangan lain. Perkara ini sedang diperincikan," katanya pada sidang media bersama wakil media Malaysia mengakhiri lawatan kerja ke Davos sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.
Ketika ini Kementerian Kerja Raya (KKR) memberikan kenyataan berdasarkan prinsip daripada dasar kerajaan untuk tidak terus memberi subsidi kepada semua pihak.
Selasa lalu, Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pihaknya tidak bercadang memberikan tol secara percuma menjelang musim perayaan bermula tahun ini.
#tol percuma #Anwar Ibrahim #musim perayaan #WEF
;