Tol Gombak sesak: Polis sahkan pengguna ada surat kebenaran rentas negeri

Ridauddin Daud
Mei 29, 2021 16:58 MYT
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesesakan berpunca daripada pemeriksaan teliti polis yang mengambil masa agak lama. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis menafikan kesesakan berlaku di Plaza Tol Gombak pada pagi Sabtu adalah kerana tindakan orang ramai yang cuba merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesesakan berpunca daripada pemeriksaan teliti polis yang mengambil masa agak lama.
Menurutnya, hasil pemeriksaan selama empat jam bermula 9.30 pagi, kebanyakan pengguna lebuh raya tersebut mempunyai kebenaran untuk merentas daerah atau negeri.
“Kebenaran itu sama ada dikeluarkan oleh majikan atau dari balai-balai polis yang memberi kebenaran untuk rentas negeri. Alasan-alasan yang diberikan kebenaran itu, pertama sekali mereka mempunyai surat rentas negeri dikeluarkan majikan.
BACA: PKP: Pemeriksaan teliti punca kesesakan trafik di Plaza Tol Gombak - Polis
“Kedua, mereka juga mempunyai surat kebenaran untuk merentas daerah dan negeri bagi tujuan perubatan.
“Ketiga, mereka mempunyai kebenaran bagi tujuan kecemasan misalnya kematian, melawat saudara yang sedang nazak di hospital. Itu alasan yang banyak kita terima pagi tadi,” katanya kepada Astro AWANI.
Tol Gombak Sesak | Polis nafi rentas daerah, negeri tanpa kebenaran
Menurutnya, berdasarkan surat rentas negeri yang diperiksa, tidak tepat untuk mengatakan ada yang cuba meninggalkan Lembah Kelang disebabkan Sekatan Pergerakan Penuh yang akan dilaksanakan pada Selasa.
“Itu tidak tepat kerana surat-surat rentas negeri yang kita lihat, mereka balik ke sini pada 31 Mei dan ada yang balik 30 Mei.
“Kurang tepat andaian mereka berpusu-pusu keluar kerana lockdown nanti, itu tidak berapa tepat kalau kita buat kesimpulan,” ujarnya.
Begitupun, Arifai menegaskan sebanyak 14 kenderaan diarahkan berpatah balik dalam pemantauan selama empat jam itu.
Jalan Raya Sesak: Sepanjang 1km di plaza tol Gombak
“Mereka mempunyai dokumen rentas negeri majikan namun mereka gagal tunjukkan dokumen sokongan lain seperti tarikh dan nama.
“Jadi surat majikan yang umum ini kita tak terima, kita arahkan mereka patah balik kerana kita bimbang ia disalah guna untuk tujuan lain.
“Sehingga 12.30 tengah hari, keadaan trafik tenang, terkawal dan jumlah kenderaan berkurangan,” katanya.
#sesak #tol Gombak #polis #PDRM #rentas negeri #rentas daerah #surat kebenaran #kecemasan #majikan #kerja #lebuhraya #tol #PKP #Bentong #Pantai Timur
;