Tol di jambatan ASEAN untuk kenderaan Malaysia dimansuhkan mulai 1 Jun
Bernama
Mei 17, 2015 12:33 MYT
Mei 17, 2015 12:33 MYT
Berkuatkuasa 1 Jun, kenderaan berdaftar di Malaysia yang menggunakan jambatan ASEAN tidak lagi perlu membayar tol RM10 kerana ia dimansuhkan.
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, semasa mengumumkan pemansuhan bayaran tol itu, berharap langkah itu dapat mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan jambatan itu yang menghubungkan Malaysia dan Brunei.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Shin Yang Group of Companies atas kerjasama mereka dalam memansuhkan tol itu demi faedah rakyat Malaysia," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 Bandaraya Miri di sini malam tadi.
Dibuka secara rasminya pada 30 Ogos 2003, jambatan berharga RM178 juta itu merupakan jalan penghubung penting bagi mereka yang memilih untuk menggunakan kenderaan dari Miri ke Brunei, Limbang dan Kota Kinabalu dengan tol RM10 bagi perjalanan sehala.
Pemansuhan tol di negeri ini merupakan yang kedua diumumkan oleh Adenan dengan yang pertama bagi jambatan Lanang di Sibu membabitkan pemansuhan tol 50 sen bagi motosikal, RM3 (kereta), RM5 (van dan pacuan empat roda) dan RM10 (lori dan bas) berkuat kuasa 25 Mei.