Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau sepatutnya berakhir 2038 - PLUS

Azyyati Ahmad
Oktober 30, 2017 12:10 MYT
PLUS menjelaskan, dua tol berkenaan sepatutnya dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2038.
Plus Malaysia Berhad (PLUS) menafikan dakwaan yang tular mengatakan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau sememangnya dijadualkan tamat pada 2018.
Dalam satu kenyataan, PLUS menjelaskan dua tol berkenaan pada sepatutnya dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2038, sekali gus pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mengenai pemansuhan tersebut bermakna, ia ditamatkan 20 tahun lebih awal.
Ia berdasarkan satu Perjanjian Konsesi yang disemak semula pada 2011 antara kerajaan dan PLUS.
“Perjanjian Konsesi 2011 yang distruktur susulan penswastaan PLUS pada tahun sama, menyaksikan kutipan di semua plaza tol milik PLUS, termasuk Batu Tiga dan Sungai Rasau, diselaraskan.
"Selain itu, tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan, sama ada oleh kerajaan atau PLUS di semua lebuh raya milik syarikat ini sejak 2005," kata kenyataan itu.
PLUS bagaimanapun berkata perbincangan sedang berlangsung ketika ini mengenai pampasan perlu dibayar oleh kerajaan susulan pemansuhan tol itu dan satu pengumuman akan dibuat selepas mendapat maklumat daripada kerajaan.
#PLUS #PLUS Malaysia Berhad #Tol Batu Tiga #Tol Sungai Rasau
;